LUKAS 16:19-31

LUKAS 16:19-31 BM

“Ada seorang kaya; pakaiannya mahal-mahal dan hidupnya mewah setiap hari. Ada pula seorang miskin bernama Lazarus. Tubuhnya penuh dengan kudis yang bernanah. Lazarus biasa dibawa ke hadapan pintu rumah orang kaya itu. Dia berharap dapat mengisi perut dengan sisa-sisa yang dibuang dari meja orang kaya itu. Kadang-kadang anjing datang menjilat kudisnya. Orang miskin itu meninggal lalu dibawa oleh malaikat ke sisi Abraham di syurga. Orang kaya itu pun meninggal dan dikebumikan. Di alam maut dia sangat menderita. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Abraham jauh di sana dengan Lazarus di sisinya. ‘Bapa Abraham,’ seru orang kaya itu, ‘kasihanilah saya. Suruhlah Lazarus mencelupkan jarinya ke dalam air dan membasahkan lidah saya, kerana saya sengsara di dalam api ini!’ Tetapi Abraham menjawab, ‘Ingatlah, anakku, seumur hidupmu kamu sudah mendapat segala yang baik, sedangkan Lazarus mendapat segala yang buruk. Tetapi sekarang Lazarus seronok di sini, sebaliknya kamu menderita sengsara. Selain itu, ada pula jurang yang dalam di antara kamu dan kami, sehingga orang dari sini tidak dapat ke sana dan orang dari sana tidak dapat ke mari!’ ‘Jika demikian, Bapa Abraham,’ kata orang kaya itu, ‘saya memohon supaya bapa menyuruh Lazarus pergi ke rumah ayah saya. Saya mempunyai lima orang saudara. Biarlah Lazarus pergi memberikan amaran kepada mereka, supaya setidak-tidaknya mereka tidak akan datang ke tempat penderitaan ini.’ Abraham berkata kepadanya, ‘Tidakkah mereka mempunyai Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi yang memberikan amaran kepada mereka? Sepatutnya mereka mendengarkan amaran kitab-kitab itu!’ Tetapi orang kaya itu menjawab, ‘Hal itu tidak cukup, Bapa Abraham. Jika ada seorang bangkit daripada kematian lalu datang kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa.’ Tetapi Abraham berkata kepadanya, ‘Jika mereka tidak mendengarkan ajaran Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya juga sekalipun ada orang bangkit daripada kematian.’ ”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami