LUKAS 11:14-36

LUKAS 11:14-36 BM

Pada suatu hari Yesus mengusir roh jahat daripada seorang bisu. Setelah roh jahat itu keluar, orang itu mula bercakap. Orang ramai hairan, tetapi ada beberapa orang yang berkata, “Beelzebul, ketua semua roh jahat telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.” Ada juga orang lain yang hendak memerangkap Yesus. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan akan hancur. Jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, bagaimanakah kerajaan itu dapat bertahan? Kamu berkata Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberi kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian, siapakah yang memberikan kuasa kepada pengikut kamu untuk mengusir roh jahat? Pengikut kamu sendiri membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah! Aku mengusir roh jahat dengan kuasa Allah dan hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di tengah-tengah kamu. Apabila seorang kuat yang bersenjata lengkap, menjaga rumahnya sendiri, semua miliknya akan selamat. Tetapi jika seorang yang lebih kuat menyerang dan mengalahkan dia, orang itu akan merampas semua senjata yang digunakan pemilik itu, lalu membahagi-bahagikan apa yang dicurinya. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan orang yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku!” “Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika roh jahat itu tidak dapat menjumpai tempat tinggal, roh itu akan berkata, ‘Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.’ Ketika roh itu kembali, roh itu mendapati rumah itu bersih dan teratur. Lalu roh itu akan pergi memanggil tujuh roh jahat lain yang lebih jahat daripadanya. Kemudian semua roh itu akan memasuki orang itu lalu tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu menjadi lebih buruk daripada dahulu.” Setelah Yesus berkata demikian, seorang wanita antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, “Alangkah bahagianya wanita yang melahirkan dan menyusui kamu!” Tetapi Yesus menjawab, “Lebih bahagia lagi orang yang mendengar firman Allah dan melakukannya!” Ketika orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, “Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali mukjizat Nabi Yunus. Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini. Pada Hari Pengadilan kelak, ratu dari Syeba akan bangkit lalu menuduh orang zaman ini. Ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran yang bijak daripada Raja Salomo. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo! Pada Hari Pengadilan kelak, penduduk Niniwe akan bangkit lalu menuduh kamu, kerana mereka bertaubat daripada dosa ketika mendengar Yunus menyampaikan perkhabaran. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!” “Tidak ada orang yang memasang pelita lalu menyembunyikan atau menaruh pelita itu di bawah pasu. Dia akan meletakkannya di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke rumah dapat melihat cahayanya. Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Apabila matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi apabila matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita. Oleh itu, berhati-hatilah, supaya cahaya pada dirimu tidak menjadi gelap. Jika seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya dan tidak ada bahagian yang gelap, maka seluruh tubuhmu itu terang benderang seperti disinari cahaya.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami