LUKAS 1:67-80

LUKAS 1:67-80 BM

Zakharia, bapa Yohanes, dikuasai oleh Roh Allah, lalu menyampaikan berita daripada Allah. Dia berkata, “Marilah kita memuji Tuhan, Allah bangsa Israel! Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan membebaskan mereka. Dia mengurniai kita Penyelamat yang berkuasa, seorang keturunan Daud, hamba-Nya. Dahulu kala melalui nabi-nabi yang dipilih-Nya, Tuhan telah berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, dan daripada kuasa orang yang membenci kita. Dia berjanji akan merahmati nenek moyang kita, serta ingat akan janji-Nya yang suci itu. Dia bersumpah kepada nenek moyang kita Abraham, dan berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, serta membolehkan kita mengabdikan diri kepada-Nya tanpa takut, supaya kita menjadi suci dan menyenangkan hati-Nya sepanjang hidup kita. Engkau, hai anakku, akan disebut nabi Allah Yang Maha Tinggi. Engkau diutus terlebih dahulu daripada Tuhan supaya merintis jalan untuk-Nya, supaya memberitahu umat-Nya bahawa mereka akan diselamatkan, apabila Allah mengampunkan dosa mereka. Allah kita pengasih dan penyayang. Bagi menyelamatkan kita Dia akan datang bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang yang hidup dalam kegelapan dan di bawah bayang maut. Dia akan memimpin kita ke jalan yang menuju kedamaian.” Anak Zakharia membesar dan semakin kuat kerohaniannya. Dia tinggal di padang gurun sehingga tiba masanya dia menampilkan diri kepada umat Israel.