LUKAS 1:39-80
LUKAS 1:39-80 BM
Tidak lama kemudian, Maria segera berangkat ke sebuah kota di Yudea, di kawasan pergunungan. Dia pergi ke rumah Zakharia lalu memberikan salam kepada Elisabet. Ketika Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak. Elisabet dikuasai oleh Roh Allah, lalu dia berseru, “Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu! Mengapakah penghormatan yang sebesar ini diberikan kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang melawat aku? Sebaik sahaja aku mendengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak kerana bersukacita. Alangkah bahagianya kamu kerana percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadamu akan berlaku!” Maria berkata, “Hatiku menyanjung Tuhan; jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku, Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia, kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya. Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan. Dengan tangan-Nya yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka. Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina. Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan. Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya. Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturunannya selama-lamanya!” Maria tinggal dengan Elisabet kira-kira tiga bulan lamanya, lalu pulang ke rumah. Apabila tiba masanya Elisabet bersalin, dia melahirkan seorang anak lelaki. Semua jiran dan sanak saudaranya mendengar betapa baiknya Tuhan terhadap Elisabet, dan mereka ikut bersukacita dengan dia. Setelah bayi itu berumur lapan hari, mereka datang untuk menyunat dia. Mereka hendak menamakan bayi itu Zakharia menurut nama bapanya. Tetapi ibunya berkata, “Jangan! Dia harus dinamakan Yohanes.” Mereka berkata kepadanya, “Tetapi tidak seorang pun antara sanak saudaramu bernama begitu.” Lalu dengan isyarat, mereka bertanya kepada bapa bayi itu nama yang hendak diberikan kepada anaknya. Zakharia meminta sebuah papan tulis lalu menulis, “Namanya Yohanes.” Mereka semua hairan. Pada masa itu juga Zakharia dapat bercakap semula lalu mula memuji-muji Allah. Semua jirannya ketakutan dan berita ini tersebar ke seluruh pergunungan Yudea. Semua orang yang mendengar perkara itu berkata dalam hati, “Anak ini tentu akan menjadi orang besar.” Mereka berkata demikian kerana nyata sekali kuasa Tuhan menyertainya. Zakharia, bapa Yohanes, dikuasai oleh Roh Allah, lalu menyampaikan berita daripada Allah. Dia berkata, “Marilah kita memuji Tuhan, Allah bangsa Israel! Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan membebaskan mereka. Dia mengurniai kita Penyelamat yang berkuasa, seorang keturunan Daud, hamba-Nya. Dahulu kala melalui nabi-nabi yang dipilih-Nya, Tuhan telah berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, dan daripada kuasa orang yang membenci kita. Dia berjanji akan merahmati nenek moyang kita, serta ingat akan janji-Nya yang suci itu. Dia bersumpah kepada nenek moyang kita Abraham, dan berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, serta membolehkan kita mengabdikan diri kepada-Nya tanpa takut, supaya kita menjadi suci dan menyenangkan hati-Nya sepanjang hidup kita. Engkau, hai anakku, akan disebut nabi Allah Yang Maha Tinggi. Engkau diutus terlebih dahulu daripada Tuhan supaya merintis jalan untuk-Nya, supaya memberitahu umat-Nya bahawa mereka akan diselamatkan, apabila Allah mengampunkan dosa mereka. Allah kita pengasih dan penyayang. Bagi menyelamatkan kita Dia akan datang bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang yang hidup dalam kegelapan dan di bawah bayang maut. Dia akan memimpin kita ke jalan yang menuju kedamaian.” Anak Zakharia membesar dan semakin kuat kerohaniannya. Dia tinggal di padang gurun sehingga tiba masanya dia menampilkan diri kepada umat Israel.