LUKAS 1:1-25

LUKAS 1:1-25 BM

Tuan Teofilus yang terhormat, Banyak orang telah berusaha membuat laporan tentang peristiwa yang berlaku di kalangan kami. Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu. Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan. Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar. Ketika Herodes menjadi raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia. Dia termasuk golongan imam Abia. Isterinya bernama Elisabet dan dia juga keturunan imam. Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan. Mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia. Pada suatu hari, Zakharia dan rakan-rakan segolongannya mendapat giliran untuk bertugas di Rumah Tuhan. Seperti biasa para imam membuang undi dan Zakharia terpilih untuk masuk ke dalam Rumah Tuhan dan membakar kemenyan di atas mazbah. Sementara upacara pembakaran kemenyan berlangsung, orang ramai berdoa di luar. Pada waktu itu malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah tempat membakar kemenyan. Ketika Zakharia nampak malaikat itu, dia cemas dan takut. Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes. Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan! Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wain atau minuman keras. Sejak di dalam rahim ibunya dia akan dikuasai oleh Roh Allah. Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka. Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.” Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.” Malaikat itu menjawab, “Aku ini Gabriel yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini. Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku.” Sementara itu, orang ramai sedang menantikan Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. Ketika Zakharia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Dia memberikan isyarat dengan tangan kerana dia bisu. Lalu orang di situ tahu bahawa Zakharia sudah nampak satu penglihatan di dalam Rumah Tuhan. Setelah habis masa Zakharia bertugas di Rumah Tuhan, dia pulang ke rumah. Tidak lama kemudian Elisabet, isterinya mengandung, dan dia tidak keluar dari rumah selama lima bulan. Elisabet berkata, “Akhirnya Tuhan menolong aku. Dia telah menghapus keaibanku.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 1:1-25

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami