IMAMAT 7:11-38
IMAMAT 7:11-38 BM
Inilah peraturan bagi korban untuk memohon berkat TUHAN yang dipersembahkan kepada TUHAN. Jika seseorang mempersembahkannya sebagai korban kesyukuran kepada Allah, dia harus mempersembahkan roti yang tidak beragi bersama-sama binatang yang dipersembahkan itu. Roti itu boleh tebal, yang dibuat daripada tepung bercampur minyak zaitun, atau roti tipis yang disapu dengan minyak zaitun, ataupun kuih yang dibuat daripada tepung bercampur minyak zaitun. Di samping itu, dia harus mempersembahkan roti yang dibuat dengan ragi. Dia harus mempersembahkan sebahagian daripada tiap-tiap jenis roti itu sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN; semua ini akan menjadi milik imam yang mengambil darah binatang itu, lalu menyiramkannya pada mazbah. Daging binatang itu mesti dimakan pada hari binatang itu dipersembahkan; sedikit pun tidak boleh ditinggalkan sehingga esok pagi. Apabila seseorang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dengan maksud menunaikan nazarnya atau sebagai korban yang dipersembahkan dengan sukarela, tidak perlu seluruh korban itu dimakan pada hari korban itu dipersembahkan. Sisa korban itu boleh dimakan pada keesokan harinya. Tetapi jika ada daging yang masih tersisa sehingga hari ketiga, daging itu mesti dibakar semuanya. Jika sedikit pun daripada sisa daging itu dimakan pada hari ketiga, korban itu tidak akan diterima oleh Allah. Korban itu tidak menjadi berkat bagi orang itu, malah menjadi haram. Sesiapa sahaja yang makan sisa daging itu akan bersalah dan harus menanggung akibatnya. Daging yang terkena apa sahaja yang najis tidak boleh dimakan, tetapi mesti dibakar semuanya. Orang yang tidak najis boleh makan daging daripada korban itu. Jika seseorang makan daging itu pada masa dia najis, dia tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. Apabila seseorang telah menyentuh sesuatu yang najis, lalu orang itu makan daging binatang yang sudah dipersembahkan itu, orang itu tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. TUHAN memberikan peraturan berikut kepada Musa bagi umat Israel. Lemak lembu, domba, ataupun kambing tidak boleh dimakan. Lemak daripada binatang yang mati biasa ataupun yang diterkam binatang buas, tidak boleh dimakan, tetapi boleh digunakan untuk keperluan lain. Orang yang makan lemak daripada binatang yang boleh dipersembahkan sebagai persembahan makanan kepada TUHAN, tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. Di mana sahaja orang Israel tinggal, mereka sekali-kali tidak boleh makan darah burung ataupun darah binatang. Sesiapa yang melanggar peraturan ini tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Allah. TUHAN memberikan peraturan berikut kepada Musa bagi umat Israel. Sesiapa yang mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, mesti mempersembahkan sebahagian daripada korban itu sebagai korban istimewa kepada TUHAN. Orang itu sendiri harus membawa korban itu sebagai persembahan makanan. Dia harus membawa lemak dan dada binatang itu, lalu mempersembahkannya sebagai persembahan istimewa kepada TUHAN. Seorang imam mesti membakar lemak itu di atas mazbah, tetapi dada binatang itu akan menjadi milik para imam. Paha kanan binatang itu harus diberikan sebagai persembahan istimewa kepada imam yang mempersembahkan darah dan lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Dada dan paha kanan binatang itu adalah persembahan istimewa yang diambil oleh TUHAN daripada umat-Nya untuk diberikan kepada para imam. Bahagian inilah yang mesti diberikan oleh umat Israel kepada imam selama-lamanya. Inilah bahagian persembahan makanan untuk TUHAN yang diberikan kepada Harun dan anak-anaknya pada hari mereka ditahbiskan menjadi imam. Pada hari itu TUHAN memerintah umat Israel supaya memberikan bahagian ini kepada para imam. Inilah peraturan yang mesti ditaati oleh umat Israel selama-lamanya. Demikianlah peraturan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban untuk mengampunkan dosa, korban untuk membayar ganti rugi, korban yang dipersembahkan semasa pentahbisan, dan korban untuk memohon berkat TUHAN. TUHAN memberikan perintah-perintah ini kepada Musa di atas Gunung Sinai, di padang gurun itu, pada hari Dia menyuruh umat Israel mempersembahkan korban mereka.