YOHANES 3:1-21

YOHANES 3:1-21 BM

Ada seorang pemimpin Yahudi bernama Nikodemus; dia daripada golongan Farisi. Pada suatu malam dia datang kepada Yesus lalu berkata kepada-Nya, “Guru, kami tahu bahawa guru diutus oleh Allah untuk mengajar kami. Tidak seorang pun dapat melakukan mukjizat seperti yang guru lakukan, kecuali Allah menyertai dia.” Yesus menjawab, “Percayalah, tidak seorang pun dapat menikmati Pemerintahan Allah kecuali dia dilahirkan semula.” Nikodemus bertanya, “Bagaimanakah seorang dewasa dapat dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan untuk kali kedua!” Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Tidak mungkin seorang pun menikmati Pemerintahan Allah, kecuali dia dilahirkan daripada air dan daripada Roh Allah. Secara jasmani manusia dilahirkan oleh manusia, tetapi secara rohani manusia dilahirkan oleh Roh Allah. Janganlah hairan kerana Aku berkata kepadamu bahawa kamu semua mesti dilahirkan semula! Angin bertiup ke mana sahaja angin mahu; kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya angin itu. Begitu juga halnya dengan setiap orang yang dilahirkan oleh Roh Allah.” Nikodemus bertanya, “Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?” Yesus menjawab, “Kamu guru terkenal di Israel. Adakah kamu tidak mengetahui perkara ini? Apa yang Aku katakan kepadamu benar: Kami mengatakan apa yang kami ketahui dan memberitahukan apa yang kami lihat, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. Aku memberitahu kamu perkara-perkara dunia ini, tetapi kamu tidak percaya; bagaimana kamu boleh percaya apabila Aku memberitahu kamu perkara-perkara syurga? Tidak seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. Sebagaimana ular gangsa ditinggikan oleh Musa pada sebatang kayu di padang gurun, begitu jugalah Anak Manusia harus ditinggikan, supaya semua orang yang percaya kepada Anak Manusia beroleh hidup sejati dan kekal. Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya. Sesiapa yang percaya kepada Anak itu tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana dia tidak percaya kepada Anak Allah yang tunggal. Penghakiman itu berdasarkan hal ini: Cahaya itu sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada cahaya kerana perbuatan mereka jahat. Sesiapa yang melakukan kejahatan membenci cahaya, dan tidak mahu datang kepada cahaya, supaya perbuatannya yang jahat tidak kelihatan. Tetapi sesiapa yang melakukan kehendak Allah datang kepada cahaya, supaya nyata bahawa perbuatan yang dilakukannya menurut kehendak Allah.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami