YOHANES 21:17-25

YOHANES 21:17-25 BM

Untuk kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, “Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?” Petrus sedih kerana Yesus bertanya tiga kali kepadanya, “Adakah kamu mengasihi Aku?” Oleh itu Petrus menjawab, “Ya Tuhan, Tuhan mengetahui semuanya. Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan!” Yesus berkata kepadanya, “Peliharalah domba-domba-Ku. Apa yang Aku katakan ini benar: Semasa kamu masih muda, kamu mengikat tali pinggang lalu pergi ke mana sahaja kamu mahu. Tetapi semasa kamu tua, kamu akan menghulurkan tangan lalu seorang lain akan mengikat kamu dan membawa kamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.” (Dengan kata-kata ini Yesus menunjukkan bagaimana Petrus akan mati kelak untuk memuliakan Allah.) Lalu Yesus berkata kepada Petrus, “Ikutlah Aku!” Petrus berpaling dan melihat pengikut yang dikasihi oleh Yesus sedang mengikuti mereka. Dialah pengikut yang duduk dekat Yesus pada waktu makan dan bertanya kepada-Nya, “Ya Tuhan, siapakah yang akan mengkhianati Tuhan?” Ketika Petrus melihat dia, Petrus bertanya kepada Yesus, “Tuhan, bagaimana dengan orang ini?” Yesus menjawab, “Jika Aku mahu dia hidup sehingga Aku kembali, apa kena-mengenanya dengan kamu? Tetapi kamu, ikutlah Aku!” Oleh itu tersebarlah berita di kalangan pengikut Yesus bahawa pengikut itu tidak akan mati. Tetapi Yesus tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati, melainkan Yesus berkata, “Jika Aku mahu dia hidup sehingga Aku kembali, apa kena-mengenanya dengan kamu?” Dialah pengikut yang memberikan kesaksian tentang perkara-perkara ini. Dia juga sudah menulis semua itu. Kita tahu bahawa apa yang dikatakannya benar. Masih banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Jika semuanya ditulis satu per satu, pada hematku seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuat semua kitab yang akan ditulis itu.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami