YOHANES 20:1-22

YOHANES 20:1-22 BM

Pada pagi hari Minggu, semasa masih gelap, Maria Magdalena pergi ke kubur. Dia melihat batu penutup sudah digulingkan dari lubang kubur itu. Oleh itu, dia lari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Yesus, lalu berkata kepada mereka, “Jenazah Tuhan telah diambil dari kubur dan kami tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!” Lalu Petrus dan pengikut lain itu pergi ke kubur. Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu mendahului Petrus dan tiba lebih awal di kubur. Dia menjenguk ke dalam dan nampak kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam kubur. Simon Petrus menyusul dari belakang; dia terus masuk ke dalam kubur itu. Dia nampak kain linen terletak di situ, dan juga kain yang diikatkan pada kepala Yesus. Tetapi kain pengikat kepala itu tergulung tersendiri. Kemudian pengikut lain itu yang lebih dahulu tiba di kubur, juga masuk. Dia melihat semuanya dan percaya. ( Meskipun demikian mereka masih belum memahami apa yang tertulis di dalam Alkitab bahawa Dia harus bangkit daripada kematian.) Kemudian pengikut-pengikut Yesus itu pulang. Maria berdiri sambil menangis di hadapan kubur. Sambil menangis dia menjenguk ke dalam kubur itu. Dia melihat dua malaikat berpakaian putih, duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat pada sebelah kepala dan satu lagi pada sebelah kaki. Malaikat-malaikat ini bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis?” Maria menjawab, “Jenazah Tuhan saya telah diambil dan saya tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!” Setelah berkata demikian, Maria berpaling dan nampak Yesus berdiri di situ. Tetapi Maria tidak tahu bahawa Dia Yesus. Yesus bertanya kepadanya, “Puan, mengapa menangis? Siapakah yang puan cari?” Maria menyangka Dia itu tukang kebun. Oleh itu Maria berkata, “Tuan, jika tuan sudah memindahkan jenazah Yesus, beritahulah saya tempat tuan meletakkan jenazah-Nya, supaya saya boleh pergi mengambil jenazah-Nya.” Yesus berkata kepadanya, “Maria!” Maria berpaling kepada Yesus lalu berkata dalam bahasa Ibrani, “Rabbuni!” (yang bererti “guru”). Tetapi Yesus berkata kepadanya, “Jangan pegang Aku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku dan beritahu mereka bahawa sekarang Aku sedang kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Allah-Ku dan Allahmu.” Oleh itu, Maria pergi memberitahu pengikut-pengikut Yesus bahawa dia sudah melihat Tuhan dan bahawa Tuhan berkata demikian kepadanya. Pada hari Minggu itu juga, apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Yesus berkumpul di sebuah rumah dengan pintu yang terkunci, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Kemudian Yesus datang berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, “Salam sejahtera!” Setelah berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka. Barulah mereka bersukacita melihat Tuhan. Yesus berkata kepada mereka lagi, “Salam sejahtera! Sebagaimana Bapa mengutus Aku, demikian juga Aku mengutus kamu.” Kemudian Yesus menghembuskan nafas-Nya kepada mereka dan berkata, “Terimalah Roh Allah.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan YOHANES 20:1-22

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami