YOHANES 2:12-25

YOHANES 2:12-25 BM

Selepas itu Yesus, ibu-Nya, saudara-saudara-Nya, dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum. Mereka tinggal di sana selama beberapa hari. Apabila sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi, Yesus pergi ke Yerusalem. Di dalam Rumah Tuhan, Dia menjumpai orang menjual lembu, domba, dan burung merpati; penukar wang pun berniaga di situ. Yesus membuat cemeti daripada tali, lalu mengusir semua orang dan binatang itu keluar dari Rumah Tuhan, baik domba mahupun lembu. Dia menunggangbalikkan meja penukar wang sehingga wang mereka berhamburan. Dia berkata kepada penjual burung merpati, “Angkat semuanya dari sini. Jangan jadikan rumah Bapa-Ku tempat berniaga!” Pengikut-pengikut-Nya lalu teringat akan ayat Alkitab yang mengatakan, “Kasih-Ku terhadap rumah-Mu, ya Allah, berkobar-kobar seperti api!” Para penguasa Yahudi bertanya kepada Yesus, “Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti ini?” Yesus menjawab, “Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi.” “Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari?” tanya mereka. “Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk membina Rumah Tuhan ini!” Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuh-Nya sendiri. Oleh itu ketika Yesus dibangkitkan daripada kematian, pengikut-pengikut-Nya teringat bahawa Dia pernah mengatakan demikian. Lalu percayalah mereka kepada apa yang tertulis di dalam Alkitab dan kepada apa yang dikatakan oleh Yesus. Sementara Yesus di Yerusalem pada masa Perayaan Paska, banyak orang percaya kepada-Nya kerana mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Tetapi Yesus tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui hati manusia. Tidak perlu orang memberitahu Dia tentang sesiapa pun, kerana Dia mengetahui isi hati manusia.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami