YOHANES 1:19-34

YOHANES 1:19-34 BM

Para penguasa orang Yahudi di Yerusalem mengutus imam-imam dan beberapa orang Lewi kepada Yohanes untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku dengan terus terang, “Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah.” “Jika demikian, siapakah kamu?” tanya mereka. “Adakah kamu Elia?” “Bukan,” jawab Yohanes. “Adakah kamu Nabi itu?” tanya mereka lagi. “Bukan,” jawabnya. “Katakanlah siapa kamu ini,” kata mereka, “kerana kami mesti memberikan jawapan kepada mereka yang mengutus kami. Apa katamu tentang dirimu sendiri?” Yohanes menjawab dengan memetik ayat daripada Kitab Nabi Yesaya, “Aku ini: ‘Seorang yang berseru di padang gurun: Luruskanlah jalan bagi Tuhan!’ ” Mereka yang diutus oleh orang Farisi, kemudian bertanya kepada Yohanes, “Jika kamu bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, atau Elia, atau Nabi itu, mengapa kamu membaptis orang?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi Dia yang tidak kamu kenal ada di kalangan kamu. Dia datang kemudian daripadaku, tetapi aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini berlaku di Betania, di sebelah timur Sungai Yordan tempat Yohanes membaptis orang. Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, “Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia! Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan. Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.” Yohanes memberikan kesaksian ini, “Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, ‘Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah.’ Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya. Aku sudah nampak kejadian ini,” kata Yohanes, “dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami