YOHANES 1:1-28

YOHANES 1:1-28 BM

Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah. Sejak permulaan, Firman itu bersama-sama Allah. Allah menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia. Firman itu sumber hidup, dan hidup itu memberikan cahaya kepada manusia. Cahaya ini bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak dapat memadamkannya. Seorang bernama Yohanes diutus oleh Allah. Yohanes datang untuk memberitahu orang tentang cahaya itu, supaya semua orang mendengar dan percaya kepada perkhabarannya. Dia sendiri bukan cahaya itu; dia datang untuk mengkhabarkan cahaya itu. Inilah cahaya sejati, yang datang ke dunia untuk menerangi umat manusia. Firman itu ada di dunia. Walaupun Allah menjadikan dunia ini melalui Dia, orang di dunia ini tidak mengenal Dia. Dia datang ke negeri-Nya sendiri, tetapi bangsa-Nya tidak menyambut Dia. Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah. Mereka menjadi anak Allah bukan dengan jalan dilahirkan oleh manusia, tetapi Allah sendiri menjadikan mereka anak-anak-Nya. Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai anak tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita. Yohanes memberikan kesaksian tentang Dia. Yohanes berseru, “Inilah Dia yang aku katakan akan datang kemudian daripadaku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan.” Dia penuh kasih; Dia terus-menerus memberkati kita semua. Allah memberikan Taurat melalui Musa, tetapi melalui Yesus Kristus, Allah menyatakan kasih-Nya dan kesetiaan-Nya kepada kita. Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Anak tunggal Bapa yang sama dengan Bapa dan di sisi Bapa, sudah menunjukkan Allah kepada kita. Para penguasa orang Yahudi di Yerusalem mengutus imam-imam dan beberapa orang Lewi kepada Yohanes untuk bertanya kepadanya, “Siapakah kamu?” Yohanes mengaku dengan terus terang, “Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah.” “Jika demikian, siapakah kamu?” tanya mereka. “Adakah kamu Elia?” “Bukan,” jawab Yohanes. “Adakah kamu Nabi itu?” tanya mereka lagi. “Bukan,” jawabnya. “Katakanlah siapa kamu ini,” kata mereka, “kerana kami mesti memberikan jawapan kepada mereka yang mengutus kami. Apa katamu tentang dirimu sendiri?” Yohanes menjawab dengan memetik ayat daripada Kitab Nabi Yesaya, “Aku ini: ‘Seorang yang berseru di padang gurun: Luruskanlah jalan bagi Tuhan!’ ” Mereka yang diutus oleh orang Farisi, kemudian bertanya kepada Yohanes, “Jika kamu bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, atau Elia, atau Nabi itu, mengapa kamu membaptis orang?” Yohanes menjawab, “Aku membaptis dengan air. Tetapi Dia yang tidak kamu kenal ada di kalangan kamu. Dia datang kemudian daripadaku, tetapi aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.” Semua ini berlaku di Betania, di sebelah timur Sungai Yordan tempat Yohanes membaptis orang.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami