YESAYA 8

8
Anak Yesaya Sebagai Tanda untuk Bangsa itu
1TUHAN berfirman kepadaku, “Ambillah sebuah batu tulis yang besar dan tulislah perkataan ini di atasnya dengan huruf-huruf yang jelas: ‘Curi Segera, Rampas Cepat.’ 2Panggillah dua orang yang dapat dipercayai untuk menjadi saksi, iaitu Imam Uria dan Zakharia anak Yeberekhya.”
3Tidak berapa lama kemudian isteriku mengandung. Apabila anak kami lahir, TUHAN berfirman kepadaku, “Namakanlah dia, ‘Curi Segera, Rampas Cepat.’ 4Sebelum anak itu dapat menyebut ‘Mak’ dan ‘Ayah’, semua harta kota Damsyik dan semua barang jarahan Samaria akan diangkut oleh raja Asyur.”
Raja Asyur Akan Datang
5TUHAN berfirman lagi kepadaku. 6Firman-Nya, “Kerana umat ini telah menolak air yang tenang dari Sungai Syiloah, dan mereka bersukacita di hadapan Raja Rezin dan Raja Pekah, 7Aku, Tuhan, akan mendatangkan raja Asyur dengan seluruh angkatan perangnya untuk menyerang Yehuda. Mereka akan mara seperti air bah dari Sungai Efrat yang meluap-luap dan membanjiri tebingnya. 8Mereka akan melanda Yehuda seperti banjir yang setinggi bahu dan menenggelamkan segala sesuatu.”
Allah menyertai kita! Sayap-Nya yang terbentang menaungi negeri ini.
9Berhimpunlah dengan ketakutan, hai bangsa-bangsa! Dengarlah, hai tempat-tempat yang jauh. Bersiaplah untuk berperang, tetapi hendaklah kamu takut! Ya, bersiap-siaplah, tetapi dengan rasa takut! 10Buatlah rancangan-rancangan kamu, tetapi semuanya akan gagal! Ambillah keputusan, tetapi semuanya itu sia-sia, kerana Allah menyertai kami!
TUHAN Memberikan Amaran kepada Nabi
11Aku dikuasai TUHAN dan diberikan amaran supaya tidak mengikut jalan yang ditempuh bangsa itu. Dia berfirman, 12“Jangan berpakat dengan mereka, dan jangan takut akan hal-hal yang ditakuti mereka. 13 Ingatlah bahawa Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa adalah suci. Akulah yang harus kamu takuti. 14Kerana Aku sangat suci, Aku menjadi seperti batu sandungan, serta perangkap bagi rakyat Yehuda dan Israel, serta penduduk Yerusalem. 15 Banyak orang akan tersandung; mereka akan jatuh dan remuk. Mereka akan terperangkap.”
Larangan untuk Berhubung dengan Arwah
16Kamu, pengikut-pengikutku, harus menyimpan dan memelihara perkhabaran yang telah diberikan Allah kepadaku. 17 TUHAN telah menyembunyikan diri daripada umat-Nya, tetapi aku percaya dan berharap kepada-Nya.
18 Inilah aku dengan anak-anak yang telah diberikan TUHAN kepadaku. TUHAN Yang Maha Kuasa yang bersemayam di Bukit Sion telah mengutus kami sebagai tanda kepada umat Israel.
19Tetapi orang akan menyuruh kamu meminta petunjuk daripada tukang tenung dan bomoh yang berbisik-bisik dan berkumat-kamit. Orang akan berkata, “Bukankah kita harus minta petunjuk daripada arwah-arwah demi kepentingan orang yang masih hidup?”
20Hendaklah kamu menjawab, “Dengarkan ajaran TUHAN! Orang yang tidak berkata-kata sesuai dengan ajaran itu, tidak mempunyai harapan.”
Masa Kesusahan
21Umat ini akan mengembara di serata negeri, dan berasa kecewa serta lapar. Kerana kelaparan, mereka marah sehingga mengutuk raja dan Allah mereka. Walaupun mereka memandang ke atas 22atau memandang ke bawah, mereka tidak akan melihat apa-apa selain kesusahan dan kegelapan serta kesuraman yang mencengkam. Mereka akan dibuang ke tempat yang gelap gelita. 23 Tiada jalan bagi mereka untuk melepaskan diri dari masa kesusahan itu.
Raja yang Akan Datang
Tanah suku Zebulon dan suku Naftali pernah dipermalukan. Tetapi pada masa hadapan, kawasan itu akan dihormati, iaitu dari Laut Tengah sampai ke tanah di seberang Yordan di sebelah timur, bahkan sampai ke Galilea tempat orang bangsa asing tinggal.

Terpilih Sekarang Ini:

YESAYA 8: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami