YESAYA 61

61
Berita Baik tentang Pembebasan
1 Kuasa TUHAN Raja ada padaku,
Dia telah memilih aku dan mengutus aku
untuk mengkhabarkan berita baik kepada orang miskin,
untuk memulihkan orang yang hancur hati,
untuk mengumumkan kemerdekaan kepada orang tawanan,
dan pembebasan kepada orang di dalam penjara.
2 Dia telah mengutus aku untuk mengisytiharkan
ketibaan masa
bagi TUHAN untuk menyelamatkan umat-Nya,
dan mengalahkan musuh-musuh mereka.
Dia telah mengutus aku untuk menghiburkan orang yang berduka,
3untuk memberi orang yang berkabung di Sion,
kesukaan serta kegembiraan, dan bukan kedukaan,
lagu pujian, dan bukan kesedihan.
Mereka akan menjadi seperti pokok
yang ditanam oleh TUHAN sendiri.
Mereka akan melakukan hal yang benar,
dan Allah akan dipuji kerana perbuatan-Nya.
4Mereka akan membina semula
kota-kota yang telah lama runtuh,
dan mendirikan tempat-tempat
yang sudah lama sepi.
5Hai umat-Ku, orang bangsa asing akan melayani kamu.
Mereka akan menjaga ternakan kamu
dan bekerja di tanah dan ladang anggur kamu.
6Kamu akan dikenal sebagai imam-imam TUHAN,
sebagai hamba-hamba Allah kita.
Kamu akan menikmati kekayaan bangsa-bangsa,
dan berasa bangga memiliki kekayaan itu.
7Kamu tidak akan dipermalukan atau dihina lagi.
Kamu akan tinggal di negeri kamu sendiri,
kekayaan kamu akan menjadi dua kali ganda;
kesukaan kamu akan kekal selama-lamanya.
8TUHAN berfirman, “Aku mencintai keadilan,
dan Aku membenci penindasan dan jenayah.
Dengan setia Aku akan memberikan ganjaran kepada umat-Ku;
Aku akan membuat perjanjian yang kekal dengan mereka.
9Keturunan mereka akan menjadi terkenal di mana-mana,
termasyhur antara bangsa-bangsa;
setiap orang yang nampak mereka akan tahu
bahawa merekalah bangsa yang telah Kuberkati.”
10 Yerusalem bersukacita kerana hal yang telah dilakukan TUHAN.
Keadaan Yerusalem seperti seorang pengantin
yang memakai perhiasan serba indah.
Begitulah Allah mengenakan
keselamatan dan kemenangan pada Yerusalem.
11Sebagaimana benih yang ditabur
pasti tumbuh dan membesar,
demikianlah TUHAN Raja pasti menyelamatkan umat-Nya,
dan semua bangsa akan memuji Dia.

Terpilih Sekarang Ini:

YESAYA 61: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami