YESAYA 50

50
1TUHAN berfirman,
“Jangan sangka bahawa Aku mengusir kamu umat-Ku,
seperti seorang suami menceraikan isterinya.
Jika demikian, di manakah surat cerai itu?
Adakah kamu menyangka bahawa Aku menjual kamu
seperti seorang bapa menjual anaknya kepada penagih hutang?
Tidak, kamu ditawan kerana dosa kamu;
kamu dibuang kerana kejahatan yang telah kamu lakukan.
2Mengapakah umat-Ku tidak menyambut Aku
ketika Aku datang untuk menyelamatkan mereka?
Mengapakah mereka tidak menjawab ketika Aku memanggil?
Adakah Aku terlalu lemah untuk menyelamatkan mereka?
Dengan perintah-Ku air laut menjadi kering,
sungai-sungai menjadi padang pasir
sehingga ikan-ikan di dalamnya mati kerana tidak ada air.
3Aku menjadikan langit gelap
seolah-olah langit sedang berkabung.”
Ketaatan Hamba TUHAN
4TUHAN Raja telah mengajar aku tentang apa yang harus kukatakan,
supaya aku dapat menguatkan orang yang letih lesu.
Tiap-tiap pagi Dia membangkitkan keinginanku
untuk mendengar ajaran-Nya bagiku.
5TUHAN telah memberi aku pengertian,
aku tidak memberontak atau berpaling daripada-Nya.
6 Aku memberikan belakangku kepada mereka yang memukul aku,
dan pipiku kepada orang yang mencabut janggutku.
Aku tidak memalingkan mukaku
ketika aku dihina dan diludahi.
7Namun hinaan mereka tidak dapat menyakiti aku,
kerana TUHAN Raja menolong aku.
Aku menguatkan hatiku supaya tabah.
Aku tahu aku tidak akan dipermalukan,
8kerana Allah menyertai aku.
Dia akan membuktikan bahawa aku tidak bersalah.
Beranikah sesiapa menuduh aku?
Marilah kita ke pengadilan.
Biarlah dia mengajukan tuduhan.
9 TUHAN Raja sendiri membela aku;
siapakah dapat mengatakan aku bersalah?
Semua pendakwaku akan lenyap;
mereka akan lenyap seperti kain usang dimakan gegat.
10Hai kamu yang menghormati TUHAN
dan yang taat kepada kata-kata hamba-Nya.
Perjalanan yang kamu tempuh mungkin gelap,
tetapi percayalah kepada TUHAN,
dan bersandarlah kepada Allah kamu.
11Hai kamu semua yang merancang untuk membinasakan orang lain,
kamu akan dibinasakan oleh rancangan kamu sendiri.
TUHAN sendiri akan menyebabkan perkara ini berlaku,
dan kamu akan menderita kesudahan yang malang.

Terpilih Sekarang Ini:

YESAYA 50: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami