IBRANI 5:1-10

IBRANI 5:1-10 BM

Tiap-tiap imam agung dipilih daripada kalangan umat, dan dilantik untuk mengabdikan diri kepada Allah sebagai wakil mereka. Tugasnya mempersembahkan pemberian dan korban untuk pengampunan dosa. Oleh sebab dia sendiri lemah dalam banyak perkara, dia dapat berlaku lemah lembut terhadap orang yang sesat kerana tidak tahu apa-apa. Oleh sebab dia sendiri lemah, dia mesti mempersembahkan korban bukan sahaja untuk dosa umat, tetapi juga untuk dosanya sendiri. Tiada seorang pun mempermuliakan dirinya sendiri dengan menjadi imam agung. Hanya dengan panggilan Allah, seseorang dapat menjadi imam agung, seperti yang berlaku kepada Harun. Demikian juga, Kristus tidak mempermuliakan diri-Nya sendiri dengan menjadi Imam Agung. Sebaliknya Allah berfirman kepada-Nya, “Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.” Dalam ayat lain Allah berfirman juga, “Engkau akan menjadi Imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.” Semasa Yesus hidup di bumi ini, Dia berdoa dan memohon dengan seruan dan tangisan kepada Allah yang berkuasa menyelamatkan Dia daripada kematian. Oleh sebab Yesus merendahkan diri dan taat kepada Allah, Allah mendengarkan permintaan-Nya. Tetapi meskipun Yesus Anak Allah, Dia belajar menjadi taat melalui penderitaan-Nya. Oleh itu, sesudah Dia menjadi penyelamat yang sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua orang yang taat kepada-Nya. Allah pun mengisytiharkan Dia menjadi Imam Agung seperti Imam Melkisedek.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami