IBRANI 12:14-29

IBRANI 12:14-29 BM

Berusahalah untuk hidup rukun dengan semua orang. Berusahalah untuk hidup suci, khas bagi Tuhan, kerana tidak seorang pun akan melihat Tuhan jika tidak hidup seperti itu. Pastikanlah supaya tidak ada orang meninggalkan Allah yang merahmati kita. Janganlah sesiapa pun menjadi seperti tanaman pahit, yang menimbulkan pelbagai kesusahan dan mencemari orang dengan bisanya. Janganlah sesiapa pun lakukan perbuatan cabul atau tidak hargai perkara rohani seperti yang dilakukan oleh Esau. Dia menjual haknya sebagai anak sulung, hanya untuk mendapat semangkuk makanan. Kamu tahu bahawa kemudian Esau ingin mendapat berkat daripada bapanya, tetapi dia ditolak. Meskipun dengan tangisan dia cuba mencari jalan untuk memperbaiki apa yang sudah dilakukannya, dia tidak dapat berbuat demikian. Kamu tidak datang untuk menghadapi sesuatu seperti yang dihadapi oleh umat Israel. Mereka datang kepada sesuatu yang dapat disentuh iaitu Gunung Sinai dengan apinya yang bernyala-nyala; mereka datang kepada kegelapan, kekelaman, angin ribut, bunyi trompet, dan suara Allah yang berfirman. Apabila umat Israel mendengar suara itu, mereka dengan sungguh-sungguh berkata bahawa mereka tidak mahu mendengar suara itu lagi. Mereka berkata demikian kerana mereka tidak tahan mendengar perintah yang mengatakan, “Baik manusia ataupun binatang yang menyentuh gunung ini, harus direjam sampai mati.” Apa yang dilihat oleh umat Israel sedemikian dahsyat sehingga Musa berkata, “Aku takut dan gementar.” Sebaliknya, kamu telah datang ke Bukit Sion dan ke kota Allah yang hidup, iaitu Yerusalem yang di syurga dengan beribu-ribu malaikatnya. Kamu telah datang ke perhimpunan yang meriah, perhimpunan anak-anak sulung Allah, yang nama mereka terdaftar di syurga. Kamu sudah datang kepada Allah yang menghakimi semua orang, dan kepada roh-roh orang baik yang sudah disempurnakan. Kamu sudah datang kepada Yesus, Pengantara yang mengadakan perjanjian baru itu, dan kepada darah percikan yang menjanjikan perkara-perkara yang jauh lebih baik daripada yang dijanjikan oleh darah Habel. Oleh itu, pastikanlah supaya kamu dengarkan Dia yang berfirman itu. Mereka yang tidak mahu mendengarkan Dia yang datang ke bumi dan menyampaikan berita daripada Allah, tidak dapat menyelamatkan diri. Jika kita meninggalkan Dia yang berfirman dari syurga, pastilah kita tidak akan dapat menyelamatkan diri. Pada masa itu, suara-Nya menggoncangkan bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji, “Sekali lagi bumi akan Aku goncangkan, dan bukan bumi sahaja tetapi langit juga.” Kata-kata “sekali lagi” menunjukkan bahawa seluruh alam yang diciptakan akan digoncangkan dan disingkirkan, supaya apa yang tidak dapat digoncangkan akan tertinggal. Oleh itu, hendaklah kita bersyukur, kerana kita menerima suatu kerajaan yang tidak dapat digoncangkan. Hendaklah kita bersyukur dan menyembah Allah dengan hormat dan takut, menurut cara yang diperkenankan oleh-Nya, kerana Allah kita seperti api yang memusnahkan.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan IBRANI 12:14-29

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami