IBRANI 10:1-18

IBRANI 10:1-18 BM

Taurat orang Yahudi bukanlah gambaran lengkap dan sempurna tentang perkara-perkara yang sebenarnya, tetapi hanya bayangan daripada perkara-perkara baik yang akan datang. Tahun demi tahun korban yang sama dipersembahkan. Bagaimanakah Taurat, melalui korban-korban ini dapat menyempurnakan orang yang datang menyembah Allah? Jika orang yang menyembah Allah benar-benar telah disucikan daripada dosa, mereka tidak akan berasa bersalah lagi, dan korban tidak perlu dipersembahkan lagi. Tetapi nyatanya, korban-korban yang dipersembahkan tahun demi tahun itu mengingatkan orang akan dosa mereka. Darah lembu jantan dan darah kambing tidak dapat menghapuskan dosa. Itulah sebabnya pada masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku. Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, ataupun korban untuk menghapuskan dosa. Lalu Aku berkata, ‘Inilah Aku, ya Allah, Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis di dalam kitab Taurat tentang diri-Ku.’ ” Mula-mula Kristus berkata, “Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa.” Dia berkata demikian meskipun segala korban itu dipersembahkan menurut Taurat. Setelah itu Dia berkata, “Inilah Aku, ya Allah. Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.” Oleh itu, Allah meniadakan segala korban yang lama itu, lalu menggantikannya dengan korban Kristus. Yesus Kristus melakukan kehendak Allah, dan mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. Hal itu dilakukan-Nya satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Dengan persembahan itu, kita semua dibersihkan daripada dosa. Setiap imam Yahudi menjalankan tugas tiap-tiap hari dan berulang kali mempersembahkan korban yang sama. Tetapi korban-korban itu sama sekali tidak dapat menghapuskan dosa. Sebaliknya, Kristus mempersembahkan hanya satu korban untuk pengampunan dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya. Setelah itu Dia duduk di sebelah kanan Allah. Sekarang Dia menantikan masanya Allah menjadikan musuh-musuh-Nya sebagai alas kaki-Nya. Demikianlah dengan satu korban, untuk selama-lamanya Dia menyempurnakan orang yang sudah disucikan daripada dosa. Roh Allah juga memberikan kesaksian kepada kita. Roh Allah berkata, “Inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan mereka pada masa akan datang, firman Tuhan, Aku akan menanamkan hukum-Ku di dalam hati mereka, dan menuliskannya di dalam fikiran mereka.” Dia juga berkata, “Aku akan melupakan segala dosa dan kejahatan mereka.” Oleh itu, apabila segala dosa dan kejahatan itu sudah diampunkan, persembahan korban untuk pengampunan dosa tidak diperlukan lagi.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami