KEJADIAN 12:1-9

KEJADIAN 12:1-9 BM

TUHAN berfirman kepada Abram, “Tinggalkanlah negerimu, kaum keluargamu, dan rumah bapamu; pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu. Aku akan memberi engkau keturunan yang banyak dan mereka akan menjadi satu bangsa yang besar. Aku akan memberkati engkau dan menjadikan namamu termasyhur, sehingga engkau menjadi berkat bagi bangsa-bangsa. Aku akan memberkati orang yang memberkati engkau, dan mengutuk orang yang mengutuk engkau. Melalui engkau, Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.” Abram berumur 75 tahun ketika dia meninggalkan Haran, menurut perintah TUHAN kepadanya. Abram berangkat ke tanah Kanaan bersama-sama Sarai isterinya, Lot anak saudaranya, dan membawa semua harta benda serta hamba yang diperoleh mereka di Haran. Selepas mereka tiba di Kanaan, Abram menjelajahi tanah itu sehingga dia tiba di pokok keramat di More, tempat ibadat di Sikhem. (Pada masa itu orang Kanaan masih tinggal di tanah itu.) TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman kepadanya, “Inilah negeri yang akan Kuberikan kepada keturunanmu.” Kemudian Abram membina sebuah mazbah di situ untuk TUHAN yang sudah menampakkan diri kepadanya. Selepas itu Abram meneruskan perjalanannya ke selatan, ke kawasan berbukit di sebelah timur kota Betel, lalu berkhemah di antara Betel dan kota Ai; Betel di sebelah barat dan Ai di sebelah timur. Di situ juga dia membina sebuah mazbah dan menyembah TUHAN. Kemudian Abram meneruskan perjalanan, dari satu tempat ke tempat berikutnya, menuju ke bahagian selatan tanah Kanaan.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami