ESTER 2:1-8

ESTER 2:1-8 BM

Beberapa lama kemudian, walaupun raja sudah tidak murka lagi, raja masih teringat akan perbuatan Permaisuri Wasti dan tindakan yang telah diambil terhadapnya. Oleh sebab itu beberapa orang penasihat yang akrab dengan raja berkata, “Mengapakah tuanku tidak mencari anak dara yang cantik untuk tuanku? Hendaklah tuanku melantik pegawai di semua wilayah kerajaan, lalu suruhlah mereka membawa semua anak dara yang cantik ke istana wanita di Susan, ibu kota ini. Serahkanlah mereka ke bawah jagaan Hegai, sida-sida yang menjadi ketua rumah tangga istana wanita. Dia akan mengurus mereka dan memberikan perawatan kecantikan kepada mereka. Selepas itu, hendaklah tuanku memilih seorang anak dara yang paling tuanku sukai, dan lantiklah dia sebagai permaisuri untuk menggantikan Permaisuri Wasti.” Raja mendapati nasihat itu baik, lalu melaksanakannya. Di ibu kota Susan, ada seorang Yahudi bernama Mordekhai anak Yair. Dia keturunan Kis dan Simei daripada suku Benyamin. Mordekhai telah ditawan ketika Yerusalem dikalahkan oleh Nebukadnezar, raja Babilonia. Mordekhai dibawa ke Babilonia bersama dengan Yoyakhin iaitu raja Yehuda, dan banyak orang tawanan yang lain. Mordekhai mempunyai sepupu yang bernama Ester. Nama Ibraninya ialah Hadasa. Ester seorang gadis yang berwajah cantik dan bertubuh molek. Ibu bapa Ester sudah meninggal, lalu dia menjadi anak angkat Mordekhai. Dia diasuh sebagai anak Mordekhai sendiri. Setelah titah raja itu diisytiharkan, banyak anak dara dibawa ke Susan, dan Ester ada di kalangan mereka. Dia dibawa ke istana, di bawah jagaan Hegai, ketua rumah tangga istana wanita.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami