ULANGAN 5:6-21

ULANGAN 5:6-21 BM

‘Akulah TUHAN, Allah kamu yang membawa kamu keluar dari Mesir, tempat kamu dijadikan hamba. Jangan sembah tuhan-tuhan lain; sembahlah Aku sahaja. Jangan buat patung berhala bagi diri kamu, patung berhala yang menyerupai apa-apa pun yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air di bawah bumi. Jangan sujud kepada berhala apa pun, atau memujanya, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu dan Aku tidak mahu disamakan dengan apa-apa pun. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Aku juga menghukum keturunan mereka sehingga generasi yang ketiga dan keempat. Tetapi Aku menunjukkan kasih-Ku kepada beribu-ribu generasi orang yang mengasihi Aku, dan yang taat kepada hukum-Ku. Jangan sebut nama-Ku untuk maksud yang jahat kerana Aku TUHAN, Allah kamu, menghukum sesiapa sahaja yang menyalahgunakan nama-Ku. Rayakanlah hari Sabat dan hormatilah hari itu sebagai hari yang suci, seperti yang Aku TUHAN, Allah kamu, perintahkan. Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi hari yang ketujuh ialah hari rehat yang ditahbiskan untuk Aku. Pada hari itu satu pun tidak boleh bekerja: sama ada kamu, anak kamu, abdi kamu, ternakan kamu, atau orang asing yang tinggal di negeri kamu. Abdi-abdi kamu mesti berehat seperti kamu. Ingatlah bahawa dahulu kamu diperhamba di negeri Mesir, dan Aku TUHAN, Allah kamu, membebaskan kamu dengan kuasa dan kekuatan-Ku yang besar. Itulah sebabnya Aku memerintah kamu untuk merayakan hari Sabat. Hormatilah bapa dan ibu kamu, sebagaimana Aku TUHAN, Allah kamu, perintahkan kamu, supaya kamu sejahtera dan panjang umur di tanah yang akan Aku beri kepada kamu. Jangan membunuh. Jangan berzina. Jangan mencuri. Jangan berikan kesaksian palsu tentang orang lain. Jangan ingini kepunyaan orang lain: isterinya, rumahnya, tanahnya, abdinya, ternakannya, keldainya, atau apa-apa pun miliknya.’

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami