DANIEL 2:1-23

DANIEL 2:1-23 BM

Pada tahun kedua pemerintahannya, Raja Nebukadnezar bermimpi. Raja sangat khuatir tentang mimpinya itu sehingga tidak dapat beradu. Oleh itu raja memanggil semua penilik, ahli sihir, bomoh, dan orang berilmu untuk mentafsirkan mimpinya itu. Ketika semua orang itu menghadap, raja bertitah kepada mereka, “Beta bermimpi, dan beta gelisah kerana beta hendak tahu erti mimpi itu.” Mereka menjawab dalam bahasa Aram: “Daulat tuanku! Ceritakanlah mimpi tuanku, dan kami akan mentafsirkannya bagi tuanku.” Raja bertitah, “Beta telah mengambil keputusan ini. Kamu harus menyatakan mimpi itu dengan tafsirannya kepada beta. Jika kamu gagal, kamu akan dipotong-potong dan rumah kamu dirobohkan dan dijadikan timbunan puing. Tetapi jika kamu berjaya memberitahu beta mimpi itu serta tafsirannya, beta akan mengurniakan hadiah yang istimewa dan kehormatan yang besar kepada kamu. Sekarang beritahukan mimpi beta itu dan tafsirannya.” Mereka menjawab lagi, “Jika tuanku menceritakan mimpi itu kepada kami, barulah kami dapat mentafsirkannya.” Raja bertitah, “Tepat sekali sangkaan beta! Kamu hanya mahu melengah-lengahkan masa, kerana kamu tahu bahawa beta telah bertekad hendak menjatuhkan hukuman yang sama kepada kamu semua jika kamu tidak dapat menceritakan mimpi itu kepada beta. Kamu berpakat untuk berdusta kerana kamu berharap bahawa beta akan mengubah keputusan beta. Ceritakanlah dahulu mimpi beta itu, barulah beta yakin bahawa kamu juga dapat mentafsirkannya.” Para penasihat raja berkata, “Tiada seorang pun di seluruh bumi ini dapat memberitahu tuanku apa yang dikehendaki tuanku. Bahkan raja yang agung dan kuat tidak pernah menuntut penilik, ahli sihir, dan orang berilmu berbuat demikian. Permintaan tuanku amat susah sehingga tiada sesiapa dapat mengabulkannya, kecuali para dewa; dan para dewa pula tidak tinggal di kalangan manusia.” Mendengar hal itu, raja naik murka dan menitahkan supaya semua penasihat raja di Babel dibunuh. Maka perintah raja pun diumumkan dan semua orang cerdik pandai, termasuk Daniel dan kawan-kawannya dicari untuk dibunuh. Maka Daniel menemui Ariokh, ketua pengawal raja. Dialah yang telah diperintahkan untuk menjalankan hukuman bunuh itu. Dengan berhati-hati, Daniel bertanya kepada Ariokh, sebabnya raja memberikan titah yang kejam itu. Ariokh pun menceritakan apa yang telah berlaku. Daniel segera memohon lebih masa daripada raja agar dia dapat mentafsirkan mimpi itu bagi raja. Kemudian Daniel pulang dan memberitahu kawan-kawannya Hananya, Misael, dan Azarya, perkara yang telah berlaku. Dia menyuruh mereka berdoa kepada Allah penguasa di syurga agar Dia mengasihani mereka dan menjelaskan rahsia mimpi itu kepada mereka, supaya mereka tidak dibunuh bersama-sama penasihat lain di Babel. Pada malam itu juga Allah menjelaskan rahsia mimpi itu kepada Daniel dalam satu penglihatan. Daniel memuji Allah penguasa di syurga dengan berkata, “Allah sungguh bijak dan berkuasa! Pujilah Dia selama-lamanya. Dialah yang menguasai musim dan masa; Dia melantik dan memecat raja; Dialah yang memberikan kebijaksanaan dan pengertian. Dia menyatakan rahsia yang amat dalam; Dia tahu akan hal yang tersembunyi dalam kegelapan, Dia diliputi oleh cahaya. Aku memuji dan menghormati Engkau, ya Allah nenek moyangku. Engkau telah memberi aku kebijaksanaan dan kekuatan; Engkau telah mengabulkan doaku, dan memberi kami jawapan bagi raja.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan DANIEL 2:1-23

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami