KISAH RASUL-RASUL 7:17-38

KISAH RASUL-RASUL 7:17-38 BM

Apabila sudah dekat masanya Allah memenuhi janji-Nya kepada Abraham, bilangan bangsa kita di Mesir semakin besar. Akhirnya seorang raja lain yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah di Mesir. Raja itu memperdaya bangsa kita dan berlaku kejam terhadap nenek moyang kita. Raja itu memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir supaya terlantar dan mati. Pada masa itulah Musa lahir; dia bayi yang sangat comel. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan. Apabila dia terpaksa dibuang, puteri raja Mesir mengambil dia dan memelihara dia sebagai anaknya sendiri. Segala ilmu bangsa Mesir diajarkan kepada Musa dan dia menjadi seorang yang sangat berkuasa, baik dengan kata-kata mahupun perbuatannya. Apabila Musa berumur empat puluh tahun, hatinya tergerak untuk pergi melawat bangsanya orang Israel. Dia melihat seorang antara mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia menolong orang yang dianiaya itu dengan membunuh orang Mesir itu. ( Musa menyangka bangsanya faham bahawa Allah akan menggunakan dia untuk membebaskan mereka, tetapi mereka tidak faham.) Keesokan harinya dia melihat dua orang Israel berkelahi, dan dia cuba mendamaikan mereka. Dia berkata, ‘Kamu bersaudara. Mengapa kamu berkelahi?’ Tetapi orang yang memukul sahabatnya menolak Musa ke tepi, lalu bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami? Adakah kamu mahu membunuh aku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?’ Apabila Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu tinggal di negeri Midian. Di sana dia beroleh dua orang anak lelaki. Empat puluh tahun kemudian, satu malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam belukar yang bernyala, di padang gurun dekat Gunung Sinai. Musa hairan melihat hal itu. Lalu dia menghampiri belukar itu supaya dapat melihat dengan lebih jelas. Tetapi dia mendengar suara Tuhan berfirman, ‘Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu; Akulah Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.’ Musa gementar kerana takut dan tidak berani melihat belukar itu lagi. Lalu Tuhan berfirman pula, ‘Tanggalkan kasutmu, kerana tanah tempat engkau berdiri itu suci. Aku sudah melihat dan memperhatikan betapa pahitnya penderitaan umat-Ku di Mesir. Aku sudah mendengar keluhan mereka, dan Aku sudah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutus engkau ke Mesir.’ Musa inilah yang tidak diterima oleh kaum Israel. Mereka bertanya, ‘Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami?’ Tetapi dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi pemimpin dan pembebas, dengan pertolongan malaikat yang datang kepadanya di belukar yang bernyala itu. Musa memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir dengan melakukan berbagai-bagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah, dan kemudian di padang gurun selama empat puluh tahun. Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, ‘Allah akan mengutus seorang nabi kepada kamu, seperti Dia sudah mengutus aku. Nabi itu dipilih-Nya daripada bangsa kamu sendiri.’ Musa inilah yang menyertai bangsa Israel berhimpun di padang gurun. Dia di situ dengan nenek moyang kita dan dengan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Di situlah Allah mengurniai dia perkhabaran yang memberikan hidup, untuk disampaikan kepada kita.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami