KISAH RASUL-RASUL 17:22-32

KISAH RASUL-RASUL 17:22-32 BM

Lalu Paulus berdiri di hadapan orang yang berkumpul di Areopagus dan berkata, “Saudara-saudara orang Atena! Saya melihat bahawa dalam segala hal, saudara-saudara sangat menghormati dewa-dewa. Pada masa saya menjelajahi bandar dan melihat tempat ibadat saudara semua, saya menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, ‘Kepada Allah Yang Tidak Dikenal’. Sebenarnya, Allah yang saudara-saudara sembah tetapi tidak saudara-saudara kenal, Dialah yang sekarang saya beritakan kepada saudara semua. Allah yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Dialah Tuhan langit dan bumi. Dia tidak tinggal di dalam kuil-kuil yang dibuat oleh manusia. Dia juga tidak memerlukan pertolongan manusia, kerana Dialah yang memberikan hidup dan nafas serta segala sesuatu kepada manusia. Daripada seorang manusia, Dia menjadikan semua bangsa dan menyuruh mereka mendiami seluruh bumi. Sejak permulaan Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka boleh hidup. Allah berbuat demikian supaya mereka mencari Dia, dan mudah-mudahan mereka menjumpai Dia semasa mereka mencari-cari Dia. Tetapi sebenarnya Allah tidak jauh daripada kita masing-masing, dan kerana Dia, kita hidup dan bergerak dan ada di dunia ini. Beberapa orang penyair saudara semua juga berkata, ‘Kita semua anak-Nya.’ Kerana kita anak Allah, kita tidak boleh menganggap Allah seperti patung yang dibuat daripada emas atau perak atau batu, yang direka bentuk menurut kemahiran manusia. Allah tidak mahu mengingat masa kita tidak mengenal Dia dahulu, tetapi sekarang Dia menyuruh semua orang di seluruh dunia bertaubat daripada cara hidup yang jahat. Hal itu demikian kerana Dia sudah menetapkan suatu hari untuk mengadili seluruh dunia ini dengan adil. Tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya. Supaya semua orang yakin akan hal itu, Allah sudah membangkitkan orang itu daripada kematian!” Apabila orang di situ mendengar Paulus berkata tentang kebangkitan daripada kematian, beberapa orang antara mereka mengolok-olokkan dia. Tetapi yang lain berkata, “Kami ingin mendengar saudara bercakap tentang hal ini lagi.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami