KISAH RASUL-RASUL 16:22-34

KISAH RASUL-RASUL 16:22-34 BM

Orang ramai pun turut menyerang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai kerajaan mengoyak pakaian Paulus dan Silas lalu menyuruh orang mencambuk mereka. Setelah mereka dicambuk dengan teruk, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Ketua penjara disuruh menjaga mereka dengan ketat. Setelah menerima perintah itu, ketua penjara itu menahan mereka di bilik penjara yang paling dalam, dan mengenakan pasung pada kaki mereka. Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka. Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat sekali, sehingga asas penjara itu bergoncang. Semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua orang tahanan pun terlepas. Ketua penjara itu terjaga, dan apabila dia nampak pintu-pintu penjara terbuka, dia menyangka semua orang tahanan sudah lari. Oleh itu dia menghunus pedang untuk membunuh diri. Tetapi Paulus berseru dengan kuat sekali, “Jangan bunuh diri! Kami semua masih di sini!” Ketua penjara itu meminta suluh lalu lari ke dalam, dan dengan gementar dia menjatuhkan diri pada kaki Paulus dan Silas. Kemudian ketua penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, “Tuan-tuan, apakah yang harus saya lakukan supaya diselamatkan?” Paulus dan Silas menjawab, “Percayalah kepada Tuhan Yesus, lalu kamu akan diselamatkan - kamu dan keluargamu!” Lalu Paulus dan Silas menerangkan firman Tuhan kepada ketua penjara itu dan kepada semua orang di rumahnya. Pada malam itu juga, ketua penjara itu membawa mereka ke suatu tempat dan membasuh luka-luka mereka. Lalu dia dan keluarganya dibaptis. Kemudian dia membawa Paulus dan Silas ke rumahnya lalu memberi mereka makanan. Ketua penjara itu dan keluarganya bersukacita kerana mereka sekarang percaya kepada Allah.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan KISAH RASUL-RASUL 16:22-34

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami