KISAH RASUL-RASUL 16:1-15

KISAH RASUL-RASUL 16:1-15 BM

Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan kemudian ke Listra. Seorang pengikut Yesus bernama Timotius tinggal di situ. Ibunya, orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus; tetapi bapanya orang Yunani. Semua pengikut Yesus yang tinggal di Listra dan Ikonium memuji Timotius. Paulus hendak membawa Timotius dengannya. Oleh itu Paulus menyunat Timotius, kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bahawa bapa Timotius orang Yunani. Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang sudah ditetapkan oleh para rasul dan pemimpin jemaah di Yerusalem. Jemaah dinasihati supaya menurut peraturan itu. Oleh itu iman jemaah semakin teguh dan setiap hari bilangan mereka semakin bertambah. Kerana Roh Allah tidak membenarkan mereka memberitakan firman Allah di wilayah Asia, mereka menjelajah daerah Frigia dan Galatia. Apabila mereka tiba di perbatasan Misia, mereka mencuba masuk ke wilayah Bitinia, tetapi Roh Yesus tidak membenarkan mereka. Oleh itu mereka terus pergi ke Troas melalui Misia. Pada malam itu dalam suatu penglihatan Paulus melihat seorang Makedonia berdiri di hadapannya dan memohon, “Marilah datang ke Makedonia dan tolonglah kami!” Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami bersependapat bahawa Allah telah menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik kepada orang di situ. Oleh itu kami segera bersiap-siap untuk berangkat ke Makedonia. Kami meninggalkan Troas lalu langsung belayar ke Samotrake, dan hari berikutnya ke Neapolis. Dari situ kami menuju ke Filipi, sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia. Filipi juga jajahan Empayar Roma. Di situ kami tinggal beberapa hari. Pada hari Sabat kami ke luar bandar dan pergi ke tepi sungai, kerana kami berfikir di situ terdapat tempat orang Yahudi berdoa. Kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. Salah seorang pendengar kami bernama Lidia, pedagang kain ungu yang mahal. Dia berasal dari Tiatira dan dia mengasihi Allah. Oleh itu Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus. Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, “Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya.” Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami