KISAH RASUL-RASUL 14:8-18

KISAH RASUL-RASUL 14:8-18 BM

Di Listra ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir dan dia tidak pernah berjalan. Dia duduk di situ dan mendengarkan kata-kata Paulus. Paulus melihat bahawa orang itu dapat disembuhkan kerana dia percaya. Oleh itu Paulus menatap dia dan berkata dengan suara lantang, “Berdirilah tegak!” Orang itu melompat berdiri dan mula berjalan. Apabila orang ramai melihat apa yang telah dilakukan oleh Paulus, mereka mula berseru dalam bahasa Likaonia, “Lihatlah, dewa-dewa sudah menjadi seperti manusia dan turun ke dunia.” Barnabas dinamakan Zeus, dan Paulus dinamakan Hermes kerana dia yang berkata-kata. Imam dewa Zeus, yang kuilnya terletak di luar bandar, datang membawa lembu jantan dan bunga ke pintu gerbang. Dia dan orang ramai hendak mempersembahkan korban kepada rasul-rasul itu. Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang akan dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyak pakaian lalu berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru, “Mengapa kamu melakukan hal ini? Kami pun manusia seperti kamu semua! Kami datang di sini untuk mengkhabarkan Berita Baik supaya kamu meninggalkan berhala-berhala yang tidak berguna itu, lalu datang kepada Allah yang hidup, Pencipta langit, bumi, dan laut serta semua yang ada di dalamnya. Pada masa yang lampau Allah membiarkan semua orang mengikut kemahuan masing-masing. Tetapi Allah sentiasa memberikan bukti-bukti tentang diri-Nya dengan perkara-perkara baik yang dilakukan-Nya. Dia mengurniai kamu hujan dari langit serta hasil bumi pada musimnya. Dia mengurniai kamu makanan serta menyenangkan hati kamu.” Walaupun rasul-rasul berkata demikian, masih sukar juga mereka mencegah orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami