KISAH RASUL-RASUL 12:4-11

KISAH RASUL-RASUL 12:4-11 BM

Setelah Petrus ditangkap, dia dimasukkan ke dalam penjara. Di situ dia dijaga oleh empat kumpulan askar, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar. Raja Herodes bercadang mengadili Petrus di hadapan umum apabila perayaan Paska berakhir. Oleh itu Petrus ditahan di penjara, tetapi jemaah tekun berdoa kepada Allah bagi Petrus. Pada malam sebelum Raja Herodes menghadapkan Petrus kepada orang ramai, Petrus tidur terbelenggu dengan dua rantai yang diikatkan kepada dua orang askar; seorang askar pada setiap sisinya. Di pintu penjara, askar-askar pengawal juga sedang bertugas. Tiba-tiba malaikat Tuhan berdiri di situ dan cahaya bersinar di dalam bilik penjara itu. Malaikat itu menggoyang-goyang Petrus dan membangunkan dia, lalu berkata, “Cepat bangun!” Pada saat itu juga jatuhlah rantai dari tangan Petrus. Malaikat itu berkata lagi, “Ikat tali pinggangmu dan pakailah kasut.” Petrus pun berbuat demikian. Kemudian malaikat itu berkata pula, “Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.” Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara. Tetapi Petrus tidak tahu sama ada perbuatan malaikat itu benar-benar berlaku atau tidak. Petrus menyangka semua itu hanya suatu penglihatan. Mereka melalui tempat penjagaan yang pertama, kemudian yang kedua dan akhirnya tiba di pintu besi yang menuju ke bandar. Pintu itu terbuka dengan sendirinya, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui suatu lorong, lalu tiba-tiba malaikat itu meninggalkan Petrus. Barulah Petrus menyedari apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Dia berkata, “Sekarang aku tahu bahawa semuanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk melepaskan aku daripada kuasa Raja Herodes dan daripada segala sesuatu yang akan dilakukan orang Yahudi kepadaku.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami