KISAH RASUL-RASUL 10:9-23

KISAH RASUL-RASUL 10:9-23 BM

Keesokan harinya, semasa mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah pada tengah hari untuk berdoa. Dia lapar dan hendak makan. Sementara makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan. Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya. Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar. Lalu ada suara berkata kepadanya, “Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!” Petrus menjawab, “Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.” Tetapi suara itu berkata lagi, “Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.” Perkara itu berulang sehingga tiga kali, lalu kain itu terangkat kembali ke langit. Petrus termenung memikirkan makna penglihatan itu. Pada masa itu orang yang disuruh oleh Kornelius sudah menjumpai rumah Simon, dan mereka sedang berdiri di muka pintu. Mereka memanggil dan bertanya sama ada seorang tamu bernama Simon Petrus menumpang di situ. Petrus masih berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, apabila Roh Allah berkata kepadanya, “Dengarlah! Tiga orang sedang mencari kamu. Cepatlah turun ke bawah dan jangan ragu-ragu mengikut mereka, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.” Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, “Sayalah yang saudara-saudara cari. Mengapa saudara-saudara datang?” Mereka menjawab, “Kapten Kornelius menyuruh kami ke mari. Dia orang baik dan dia takut akan Allah. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi. Malaikat Allah menyuruh dia menjemput tuan ke rumahnya supaya dia boleh mendengar apa yang akan tuan katakan.” Lalu Petrus menjemput mereka menginap di situ. Keesokan harinya Petrus bersiap-siap dan pergi dengan mereka. Beberapa orang pengikut Yesus dari Yope pun pergi dengan dia.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan KISAH RASUL-RASUL 10:9-23

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami