2 TIMOTIUS 4:9-22

2 TIMOTIUS 4:9-22 BM

Berusahalah untuk datang kepadaku secepat mungkin. Demas sudah meninggalkan aku kerana mencintai dunia ini. Dia sudah pergi ke Tesalonika. Kreskes pun sudah pergi ke Galatia dan Titus ke Dalmatia. Hanya Lukas bersama-sama aku di sini. Jemputlah Markus dan bawalah dia bersama denganmu, kerana dia dapat menolong aku dalam pekerjaanku. Aku sudah menyuruh Tikhikus pergi ke Efesus. Apabila engkau datang, bawalah baju panas yang aku tinggalkan di Troas di rumah Karpus. Bawalah gulungan-gulungan naskhah itu juga, terutamanya gulungan naskhah yang dibuat daripada kulit. Aleksander, tukang besi itu sudah melakukan perkara-perkara yang jahat terhadapku. Tuhan akan membalas dia menurut perbuatannya. Engkau sendiri harus berhati-hati dengannya, kerana dia sangat menentang perkhabaran kita. Tidak seorang pun mendampingi aku ketika aku membela diriku kali pertama; semuanya meninggalkan aku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka dalam hal ini! Tetapi Tuhan menyertai aku. Dia memberi aku kekuatan, sehingga aku dapat mengisytiharkan seluruh Berita Baik itu supaya didengar oleh semua orang bukan Yahudi. Aku pun diselamatkan daripada hukuman mati. Tuhan juga akan menyelamatkan aku daripada segala kejahatan. Dia akan membawa aku dengan selamat ke dalam Kerajaan-Nya di syurga. Hendaklah Dia dimuliakan selama-lamanya! Amin. Aku mengirim salam kepada Priskila dan Akwila dan kepada keluarga Onesiforus. Erastus tinggal di Korintus, tetapi Trofimus aku tinggalkan di Miletus kerana dia sakit. Berusahalah dengan sebaik-baiknya untuk datang sebelum musim sejuk. Ebulus, Pudes, Linus, dan Klaudia mengirim salam kepadamu; demikian juga semua saudara seiman yang lain. Semoga Tuhan menyertai engkau. Semoga Allah memberkati kamu semua.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami