2 PETRUS 1:1-11

2 PETRUS 1:1-11 BM

Surat ini daripada Simon Petrus, hamba dan rasul Yesus Kristus. Surat ini ditujukan kepada mereka yang percaya kepada Kristus seperti kami juga. Yesus Kristus, iaitu Allah dan Penyelamat kita memungkinkan kita percaya kepada-Nya, kerana Dia melakukan yang adil. Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan yang berlimpah-limpah, kerana kamu mengenal Allah dan Yesus, Tuhan kita. Dengan kuasa-Nya sendiri, Allah sudah mengurniai kita segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup salih. Dia melakukan hal ini melalui apa yang kita ketahui tentang Allah yang telah memanggil kita untuk menikmati kemuliaan dan kebaikan-Nya sendiri. Dengan cara ini Dia telah mengurniai kita berkat-berkat yang sangat baik dan berharga yang dijanjikan-Nya. Dengan berkat-berkat itu kamu terlepas daripada keinginan jahat yang membinasakan, yang terdapat di dunia ini, dan kamu menerima sifat Allah sendiri. Oleh itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu tetap percaya kepada Kristus, mengamalkan hidup yang baik, dan juga mengetahui kehendak Allah. Di samping itu kamu harus dapat mengawal diri, bertabah hati ketika menghadapi segala sesuatu, dan kamu juga mesti hidup salih. Hendaklah kamu menyayangi saudara seiman dan mengasihi semua orang. Semua itu sifat yang kamu perlukan, dan jika kamu memilikinya dengan berlimpah-limpah, hidup kamu akan bermakna dan berguna serta lebih mengenal Yesus Kristus Tuhan kita dengan baik. Tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sifat-sifat baik itu, pandangannya picik. Dia tidak dapat melihat dan dia lupa bahawa dosa-dosanya yang lampau sudah dihapuskan. Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah lebih keras lagi supaya panggilan Allah dan pilihan-Nya atas diri kamu itu menjadi suatu pengalaman yang kekal. Jika kamu berbuat demikian, kamu tidak akan membuang iman. Dengan cara ini, kamu akan diberikan hak sepenuhnya untuk menikmati Pemerintahan kekal daripada Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami