2 TAWARIKH 34:1-8

2 TAWARIKH 34:1-8 BM

Raja Yosia berumur lapan tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama tiga puluh satu tahun. Raja Yosia melakukan apa yang menyenangkan hati TUHAN. Baginda mengikut teladan nenek moyangnya Raja Daud, dan mentaati seluruh hukum Allah dengan sepenuhnya. Pada tahun kelapan pemerintahan Raja Yosia, ketika baginda masih muda, baginda mula menyembah Allah yang disembah nenek moyangnya, Raja Daud. Empat tahun kemudian, Raja Yosia mula memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, lambang-lambang Dewi Asyera, dan semua berhala lain. Dengan arahan Raja Yosia, anak buahnya merobohkan mazbah-mazbah Baal dan mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan yang terdapat di situ. Mereka menghancurkan patung-patung Dewi Asyera dan semua berhala lain, lalu menghamburkan debunya di atas kubur-kubur orang yang menyembah berhala-berhala itu. Kemudian di atas mazbah itu Raja Yosia membakar tulang imam-imam yang menyembah berhala-berhala itu. Dengan demikian baginda menjadikan Yehuda dan Yerusalem suci semula. Hal yang sama dilakukan baginda di kota-kota dan di tempat yang musnah di wilayah Manasye, Efraim, dan Simeon, sampai ke wilayah Naftali di utara. Di seluruh kawasan Kerajaan Utara, Raja Yosia merobohkan dan menghancurkan mazbah-mazbah dan lambang-lambang Dewi Asyera, serta mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan. Selepas itu baginda pulang ke Yerusalem. Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, selepas baginda menyucikan negeri itu dan Rumah TUHAN dengan menghentikan segala penyembahan berhala, baginda menyuruh tiga orang pegawainya untuk membaiki Rumah TUHAN Allah. Para pegawai itu ialah Safan anak Azalya, Manasye gabenor Yerusalem, dan Yoah anak Yoahas, seorang pegawai tinggi.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami