1 SAMUEL 3:1-10

1 SAMUEL 3:1-10 BM

Sementara itu, Samuel yang masih kanak-kanak, sedang mengabdi kepada TUHAN di bawah pengawasan Eli. Pada masa itu jarang sekali ada firman dan penglihatan daripada TUHAN. Pada suatu malam, Eli yang sudah sangat tua dan hampir buta, sedang tidur di biliknya. Pada masa itu Samuel tidur di dalam rumah TUHAN, tempat letaknya Tabut Perjanjian Allah. Sebelum fajar, ketika pelita di atas mazbah masih menyala, TUHAN memanggil Samuel. Samuel menjawab, “Ya tuan!” Kemudian dia lari kepada Eli dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau. Pergilah tidur.” Lalu Samuel pergi tidur semula. Kemudian TUHAN memanggil Samuel lagi. Samuel tidak tahu bahawa yang memanggilnya itu TUHAN, kerana belum pernah TUHAN berfirman kepadanya. Oleh itu dia bangun dan pergi kepada Eli, dan berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Tetapi Eli menjawab, “Aku tidak memanggil engkau, anakku. Pergilah tidur.” TUHAN memanggil Samuel pada kali ketiga, lalu Samuel bangun dan pergi kepada Eli. Dia berkata, “Tuan memanggil saya, lalu saya datang.” Kemudian Eli sedar bahawa TUHAN yang memanggil anak itu. Oleh itu Eli berkata kepada Samuel, “Pergilah tidur. Jika engkau dipanggil lagi, jawablah, ‘Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.’ ” Lalu Samuel balik ke tempat tidurnya. Kemudian TUHAN datang dan berdiri di tempat itu serta memanggil dia lagi, “Samuel! Samuel!” Samuel menjawab, “Berfirmanlah, ya TUHAN. Hamba-Mu mendengar.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami