1 SAMUEL 17:1-30

1 SAMUEL 17:1-30 BM

Pada suatu masa orang Filistin mengerahkan tentera mereka untuk maju berperang, dan berkumpul di kota Sokho, di wilayah Yehuda. Mereka memasang perkhemahan di antara Sokho dan Azeka, dekat Efes-Damim. Raja Saul dan orang Israel berkumpul juga dan berkhemah di Lembah Ela; mereka bersiap-siap untuk menghadapi serangan orang Filistin. Orang Filistin berbaris di sebuah bukit, dan orang Israel berbaris di sebuah bukit yang lain, dan di antaranya ada lembah. Seorang lelaki yang bernama Goliat, dari kota Gat, keluar dari perkhemahan Filistin untuk mencabar orang Israel. Tinggi orang itu kira-kira tiga meter. Dia memakai baju gangsa seberat kira-kira 57 kilogram, dan topi gangsa. Kakinya dilindungi oleh penutup daripada gangsa dan di bahunya dia menyangkutkan sebatang lembing gangsa. Gagang tombaknya sebesar kayu pada alat tenun dan mata tombaknya seberat kira-kira tujuh kilogram. Seorang askar pembawa perisai berjalan di hadapannya. Goliat berdiri dan berteriak kepada orang Israel, “Apakah yang sedang kamu lakukan di situ? Hendak berperangkah kamu? Aku orang Filistin, hai hamba-hamba Raja Saul! Pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku. Jika dia menang dan membunuh aku, kami akan menjadi hamba kamu. Tetapi jika aku menang dan membunuh dia, kamu akan menjadi hamba kami. Sekarang juga, aku mencabar tentera Israel; pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku!” Apabila Raja Saul dan tenteranya mendengar cabaran itu, mereka cemas dan sangat ketakutan. Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem di Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak lelaki, dan pada masa pemerintahan Raja Saul, Isai sudah sangat tua. Ketiga-tiga orang anak lelaki Isai yang tertua sudah mengikut Raja Saul pergi berperang. Anak Isai yang sulung bernama Eliab, yang kedua Abinadab, dan yang ketiga Syama. Daud ialah anak bongsu Isai. Semasa ketiga-tiga abangnya tinggal bersama-sama Raja Saul, Daud sering meninggalkan Raja Saul, lalu pulang ke Betlehem untuk menggembalakan domba bapanya. Selama empat puluh hari, tiap-tiap pagi dan petang, Goliat menghampiri barisan tentera Israel dan mencabar mereka. Pada suatu hari Isai berkata kepada Daud, “Bawalah sepuluh kilogram biji-bijian yang dipanggang dan sepuluh buku roti, lalu hantarlah semuanya kepada abang-abangmu di perkhemahan tentera. Bawalah juga sepuluh buah keju bagi komandan pasukan. Tanyakanlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Bawalah sesuatu untuk membuktikan bahawa engkau sudah berjumpa dengan mereka, dan mereka dalam keadaan selamat. Mereka berada di Lembah Ela bersama dengan Raja Saul dan semua orang Israel lain, yang sedang bertempur dengan orang Filistin.” Keesokan harinya, awal pagi, Daud bangun dan berkemas. Dia menyuruh orang lain menjaga domba. Kemudian dia membawa makanan itu lalu berangkat sebagaimana yang disuruh oleh Isai. Dia tiba di perkhemahan tepat ketika orang Israel sedang mengatur barisan sambil meneriakkan isyarat perang. Tentera Filistin dan tentera Israel saling berhadapan dan bersiap-siap untuk bertempur. Daud menitipkan makanan itu kepada penjaga perlengkapan tentera, lalu lari ke medan perang untuk berjumpa dengan abang-abangnya, dan menanyakan khabar mereka. Tetapi ketika dia sedang bercakap dengan mereka, Goliat tampil lalu mencabar tentera Israel seperti yang biasa dilakukannya; Daud mendengar kata-kata cabarannya itu. Apabila tentera Israel melihat Goliat, mereka lari ketakutan. “Lihatlah dia!” kata mereka sesama sendiri. “Dengarlah cabarannya! Raja Saul sudah berjanji bahawa orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu, dan keluarga orang itu tidak perlu membayar cukai lagi.” Daud bertanya kepada askar yang berada dekatnya, “Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan? Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!” Mereka memberitahu Daud akan hadiah yang diberikan kepada orang yang dapat membunuh Goliat. Eliab, abang sulung Daud, mendengar percakapan Daud dengan askar-askar itu. Dia memarahi Daud, dan berkata, “Mengapa engkau datang ke mari? Siapa yang kausuruh menjaga domba-dombamu di padang gurun itu? Aku tahu, engkau budak jahat, dan berlagak berani; kaudatang ke mari hanya untuk melihat pertempuran, bukan?” “Apakah salahku? Aku hanya bertanya,” jawab Daud. Kemudian dia pergi dan menanyakan hal yang sama kepada askar-askar lain, dan dia mendapat jawapan yang sama.