1 RAJA-RAJA 8:22-66

1 RAJA-RAJA 8:22-66 BM

Kemudian di hadapan rakyat, Raja Salomo berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati. Engkau telah menepati janji-Mu kepada ayahandaku, Raja Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji-Mu yang satu lagi kepada ayahandaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada-Mu seperti Raja Daud. Oleh itu, ya Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada ayahandaku Raja Daud, hamba-Mu. Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah kubina! Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku hari ini. Lindungilah Rumah ini siang dan malam, tempat yang telah Engkau pilih sebagai tempat beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap tempat ini dan berdoa kepada-Mu. Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami. Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah, dengarkanlah dari syurga, ya TUHAN, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah setimpal dengan perbuatannya dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah. Apabila umat-Mu Israel dikalahkan musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni, semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka. Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini, dan berdoa kepada-Mu dengan rendah hati, semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa raja dan rakyatnya, orang Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar. Selepas itu, ya TUHAN, turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya. Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang musuh, atau penyakit, dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini, dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan ampunilah dan tolonglah mereka. Hanya Engkau yang tahu isi hati manusia. Oleh itu, perlakukanlah tiap-tiap orang setimpal dengan perbuatannya, supaya umat-Mu sentiasa taat kepada-Mu dan tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami. Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang kebesaran-Mu, dan juga tentang mukjizat-mukjizat yang telah Engkau lakukan bagi umat-Mu, lalu datang menyembah-Mu dan berdoa di Rumah ini, dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu. Apabila Engkau memerintah umat-Mu bertempur untuk melawan musuh, dan mereka berdoa kepada-Mu di mana sahaja mereka berada, sambil menghadap kota yang telah Engkau pilih dan Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Engkau yang di syurga, dengarkanlah mereka, dan berilah mereka kemenangan. Apabila umat-Mu berdosa terhadap-Mu - kerana tiada sesiapa pun yang tidak berdosa - dan kerana kemurkaan-Mu Engkau membiarkan mereka dikalahkan, ditawan oleh musuh, dan dibawa ke negeri lain, walaupun negeri itu jauh, dengarkanlah umat-Mu. Jika mereka bertaubat dan berdoa kepada-Mu di negeri itu, serta mengaku bahawa mereka telah berdosa dan berbuat jahat, dengarkanlah doa mereka, ya TUHAN. Jika di negeri itu mereka bertaubat dengan tulus dan ikhlas, dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap ke arah negeri ini yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami dan ke arah kota yang telah Engkau pilih, serta Rumah ini yang telah aku bina untuk-Mu, dengarkanlah doa mereka. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah permintaan mereka dan kasihanilah mereka. Ampunkanlah semua dosa dan pemberontakan mereka terhadap-Mu, dan buatlah musuh mereka mengasihani mereka. Mereka umat-Mu sendiri, yang Engkau bawa keluar dari Mesir, tempat mereka diseksa. Ya TUHAN Raja, semoga Engkau sentiasa berkenan kepada umat-Mu Israel dan raja mereka. Dengarkanlah doa mereka setiap kali mereka berseru kepada-Mu meminta tolong. Engkau telah memilih mereka antara semua bangsa untuk menjadi umat-Mu sendiri; itulah firman-Mu kepada mereka melalui hamba-Mu Musa ketika Engkau membawa nenek moyang kami keluar dari Mesir.” Demikianlah Raja Salomo berdoa kepada TUHAN sambil berlutut dan mengangkat tangan. Selepas itu baginda berdiri di hadapan mazbah. Dengan suara kuat baginda berdoa minta Allah memberkati semua orang yang berkumpul di situ, katanya, “Terpujilah TUHAN yang telah memberi umat-Nya kesejahteraan seperti yang dijanjikan-Nya melalui Musa, hamba-Nya. Semua yang baik yang dijanjikan-Nya telah ditepati-Nya. Semoga TUHAN, Allah kita menyertai kita sebagaimana Dia menyertai nenek moyang kita. Semoga Dia tidak meninggalkan kita atau membuang kita. Semoga Dia menjadikan kita orang yang taat kepada-Nya supaya kita sentiasa hidup menurut kehendak-Nya, dan mentaati semua hukum dan perintah yang diberikan-Nya kepada nenek moyang kita. Semoga TUHAN, Allah kita, sentiasa ingat akan doa dan permintaan yang beta sampaikan kepada-Nya ini. Semoga Dia sentiasa mengasihani umat-Nya Israel dan raja mereka, dengan memberi mereka apa yang diperlukan setiap hari. Dengan demikian semua bangsa di bumi akan tahu bahawa TUHAN sahaja Allah, dan tiada yang lain. Semoga kamu umat-Nya sentiasa setia kepada TUHAN, Allah kita, sambil taat kepada semua hukum dan perintah-Nya seperti yang kamu lakukan pada hari ini.” Selepas itu Raja Salomo dan segenap umat yang berkumpul di situ mempersembahkan korban kepada TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu dan 120,000 ekor domba sebagai korban untuk memohon berkat TUHAN. Demikianlah Raja Salomo dan segenap rakyat mentahbiskan Rumah TUHAN. Pada hari itu raja juga mentahbiskan bahagian tengah halaman, iaitu kawasan sebelah depan Rumah TUHAN. Di situ baginda mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, korban untuk mengucap syukur dan lemak binatang daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. Raja mempersembahkan semuanya di situ kerana mazbah gangsa yang dibina baginda, terlalu kecil untuk semua korban itu. Di Rumah TUHAN itu juga, Raja Salomo dan segenap umat Israel merayakan Perayaan Pondok Daun selama tujuh hari. Banyak sekali orang yang datang untuk merayakan perayaan itu. Mereka dari daerah sejauh Genting Hamat di utara dan sempadan negeri Mesir di selatan. Pada hari kelapan, Raja Salomo menyuruh semua orang itu pulang. Mereka pulang dengan sukacita, sambil memuji raja bagi segala berkat yang telah diberikan TUHAN kepada Raja Daud, hamba-Nya, dan segenap umat-Nya Israel.