1 YOHANES 3:11-24

1 YOHANES 3:11-24 BM

Inilah perkhabaran yang kamu dengar sejak permulaan: Kita harus saling mengasihi. Janganlah kita seperti Kain. Dia menjadi anak Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah Kain membunuh adiknya? Kerana perbuatan yang dilakukannya salah, tetapi perbuatan yang dilakukan adiknya benar. Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika orang di dunia ini membenci kamu. Kita tahu bahawa kita hidup dan sudah meninggalkan kematian, kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya, masih dikuasai kematian. Sesiapa membenci saudaranya, dia pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup sejati dan kekal. Dengan jalan ini kita mengetahui cara mengasihi orang lain: Kristus sudah menyerahkan hidup-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan hidup kita untuk saudara-saudara kita! Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Allah? Anak-anakku! Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan. Demikianlah caranya kita tahu bahawa kita tergolong sebagai anak-anak Allah yang benar, dan hati kita tenang di hadapan Allah. Jika hati nurani kita menyalahkan kita, maka kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati nurani kita, dan bahawa Dia mengetahui semuanya. Oleh itu, sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan penuh keberanian. Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya, kerana kita taat kepada perintah-Nya dan kita melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Inilah perintah-Nya: Kita harus percaya kepada Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kita harus saling mengasihi, seperti yang diperintahkan Kristus kepada kita. Sesiapa yang taat kepada perintah Allah, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. Kita tahu bahawa Allah hidup bersatu dengan kita, kerana Dia telah mengurniai kita Roh-Nya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami