1 KORINTUS 12:1-14

1 KORINTUS 12:1-14 BM

Sekarang aku hendak membincangkan kurnia-kurnia yang diberikan oleh Roh Allah. Aku mahu kamu mengetahui yang sebenarnya tentang hal itu. Pada waktu kamu belum mengenal Tuhan, kamu disesatkan untuk menyembah berhala yang tidak bernyawa. Kamu harus tahu bahawa orang yang dipimpin oleh Roh Allah tidak dapat berkata, “Terkutuklah Yesus!” Begitu juga tidak seorang pun dapat mengatakan, “Yesuslah Tuhan!” kecuali orang itu dipimpin oleh Roh Allah. Ada berbagai-bagai kurnia daripada Roh Allah, tetapi semuanya diberikan oleh Roh yang sama. Begitu juga ada berbagai-bagai cara untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, tetapi kita mengabdi kepada Tuhan yang sama. Ada berbagai-bagai cara untuk melakukan kerja bagi Tuhan, tetapi Allah yang sama memberikan kebolehan kepada setiap orang untuk melakukan kerja masing-masing. Bagi kebaikan kita semua, Allah memberikan bukti bahawa Roh-Nya ada pada setiap orang. Ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran yang penuh dengan kebijaksanaan. Ada orang lain yang dapat menyampaikan pengetahuan tentang Allah. Tetapi kebolehan-kebolehan itu diberikan oleh Roh yang sama. Kepada yang lain, Roh yang sama mengurniakan kepercayaan yang luar biasa kepada Kristus, sedangkan kepada yang lain pula Roh Allah mengurniakan kuasa untuk menyembuhkan orang sakit. Kepada yang lain, Roh Allah mengurniakan kuasa untuk melakukan mukjizat, dan kepada yang lain pula, Roh itu memberikan kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Kepada yang lain pula, Roh Allah mengurniakan kebolehan untuk membeza-bezakan kurnia yang daripada Roh Allah dan yang bukan daripada Roh Allah. Ada pula yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, dan ada juga yang dapat menerangkan erti bahasa-bahasa itu. Tetapi semuanya dilakukan oleh Roh yang sama juga. Dia memberi setiap orang kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya sendiri. Kristus bagaikan tubuh manusia, yang mempunyai banyak anggota. Tubuh itu satu tetapi terdiri daripada banyak anggota. Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptis oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Allah sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita. Aku berkata demikian kerana tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami