1 KORINTUS 1:20-31

1 KORINTUS 1:20-31 BM

Oleh itu, apakah gunanya orang bijak? Apakah gunanya ahli Taurat? Apakah gunanya orang berilmu? Allah sudah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia ini kebodohan belaka! Kerana Allah bijaksana, Dia menentukan supaya manusia tidak dapat mengenal-Nya melalui kebijaksanaan mereka sendiri. Sebaliknya Allah menetapkan bahawa Dia menyelamatkan orang yang percaya kepada-Nya melalui perkhabaran kami yang dianggap suatu kebodohan. Orang Yahudi menuntut mukjizat sebagai bukti dan orang Yunani mementingkan kebijaksanaan. Tetapi kami mengisytiharkan Kristus yang disalibkan. Berita itu menyinggung perasaan orang Yahudi, dan dianggap suatu kebodohan oleh orang bukan Yahudi. Tetapi bagi mereka yang sudah dipanggil oleh Allah, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, berita itu Kristus, yang menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Hal itu demikian kerana apa yang nampaknya seperti kebodohan Allah, sebenarnya lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia; apa yang nampaknya seperti kelemahan Allah, sebenarnya lebih kuat daripada kekuatan manusia. Saudara-saudaraku! Ingatlah akan keadaan kamu semasa Allah memanggil kamu. Menurut pandangan manusia hanya sedikit antara kamu yang bijak, atau berkuasa ataupun berkedudukan tinggi. Allah sengaja memilih orang yang dianggap bodoh oleh dunia ini, untuk mempermalukan orang yang bijak. Allah juga memilih orang yang dianggap lemah oleh dunia ini untuk mempermalukan orang yang berkuasa. Allah memilih orang yang dianggap rendah, hina dan tidak berguna oleh dunia ini, untuk menghancurkan orang yang dianggap penting oleh dunia ini. Hal ini bererti tidak seorang pun dapat memegahkan diri di hadapan Allah. Tetapi Allah sudah menjadikan kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Melalui Kristus, Allah menjadikan kita bijak. Melalui Kristus juga Allah memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, menjadikan kita umat-Nya yang khas dan membebaskan kita. Oleh itu, seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Sesiapa mahu berbangga, dia harus berbangga dengan apa yang sudah dilakukan oleh Tuhan.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan 1 KORINTUS 1:20-31

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami