1 TAWARIKH 29:6-16

1 TAWARIKH 29:6-16 BM

Kemudian para ketua puak, ketua suku, panglima, dan pengurus harta milik raja menyatakan keinginan mereka untuk memberikan sumbangan. Mereka memberikan yang berikut bagi pembinaan Rumah TUHAN: lebih 170 tan emas, lebih 340 tan perak, hampir 620 tan gangsa, dan lebih 3,400 tan besi. Orang yang mempunyai batu permata, menyerahkannya kepada Yehiel untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN. (Yehiel seorang Lewi daripada puak Gerson.) Rakyat memberikan sumbangan kepada TUHAN dengan ikhlas dan rela hati. Mereka bersukacita kerana banyak pemberian telah disumbangkan dan Raja Daud pun sangat bersukacita. Di hadapan semua orang yang berhimpun di situ, Raja Daud memuji TUHAN. Baginda berdoa, “Ya TUHAN Allah yang disembah Yakub, nenek moyang kami, terpujilah Engkau selama-lamanya! Engkau sungguh besar dan berkuasa. Engkau mulia, semarak, dan agung! Segala sesuatu di langit dan di bumi adalah milik-Mu. Engkaulah raja agung, penguasa atas segalanya. Segala harta dan kekayaan berasal daripada-Mu; segala sesuatu Engkau kuasai dengan kekuatan dan kekuasaan-Mu; Engkau berkuasa membuat sesiapa sahaja menjadi orang besar dan kuat. Sekarang, ya Allah kami, kami mengucap syukur kepada-Mu dan kami memuji nama-Mu yang agung. Aku dan rakyatku sesungguhnya tidak dapat memberikan apa-apa kepada-Mu, kerana segalanya adalah pemberian-Mu dan apa yang kami berikan ini kepunyaan-Mu juga. Engkau tahu, ya TUHAN, bahawa seperti nenek moyang kami, kami pun hidup sebagai pendatang dan orang asing. Hidup kami seperti bayangan yang berlalu, dan kami tidak dapat lepas daripada kematian. Ya TUHAN, Allah kami, semua barang berharga ini kami kumpulkan di sini untuk membina sebuah rumah bagi-Mu supaya kami dapat menghormati nama-Mu yang suci. Tetapi semua ini kami terima daripada-Mu sendiri dan kepunyaan-Mu juga.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami