1 TAWARIKH 16:7-36

1 TAWARIKH 16:7-36 BM

Itulah kali pertama Raja Daud menugaskan Asaf dan rakan-rakannya sesama orang Lewi untuk menyanyikan lagu puji-pujian kepada TUHAN. Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya. Ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa. Nyanyikanlah lagu pujian kepada TUHAN, ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan. Dialah TUHAN Yang Esa; bersukacitalah kerana kita milik-Nya; semua orang yang menyembah TUHAN hendaklah bersukacita! Mintalah pertolongan TUHAN; sembahlah Dia sentiasa. Hai keturunan Yakub, hamba Allah, hai keturunan Israel, umat pilihan Allah, ingatlah akan mukjizat yang dilakukan Allah, jangan lupakan keputusan yang diberikan-Nya. TUHAN ialah Allah kita; perintah-Nya untuk seluruh dunia. Jangan lupakan perjanjian-Nya yang berlaku untuk selama-lamanya, perjanjian yang dibuat-Nya dengan Abraham, dan janji-Nya dengan Ishak, lalu dikekalkan dengan Yakub, menjadi perjanjian abadi bagi umat Israel. Dia berfirman, “Aku akan memberi kamu negeri Kanaan, untuk menjadi milik pusaka kamu.” Dahulu umat Allah kecil bilangannya, mereka hidup sebagai orang asing di negeri Kanaan. Mereka mengembara dari negeri ke negeri, dari sebuah kerajaan ke sebuah kerajaan. Tetapi Allah tidak membiarkan sesiapa pun menindas mereka, kerana mereka, Dia memberikan amaran kepada raja-raja. Dia berfirman, “Jangan ganggu hamba-hamba pilihan-Ku; jangan cederakan nabi-nabi-Ku!” Nyanyikanlah lagu untuk TUHAN, hai segenap bumi! Pada setiap hari siarkanlah berita baik bahawa Dia telah menyelamatkan kita. Isytiharkanlah keagungan-Nya kepada bangsa-bangsa, dan perbuatan-Nya yang mengagumkan umat manusia. TUHAN itu agung, dan mesti dipuji setinggi-tingginya; Dia mesti dihormati lebih daripada semua dewa. Dewa-dewa bangsa lain hanya patung berhala, tetapi TUHAN mencipta angkasa raya. Kemuliaan dan keagungan mengelilingi Dia, tempat kediaman-Nya dipenuhi kuasa dan kegembiraan. Hai semua orang di bumi, pujilah TUHAN! Pujilah keagungan dan keperkasaan-Nya. Pujilah nama TUHAN yang mulia; bawalah persembahan dan masuklah ke dalam kediaman-Nya. Bersujudlah di hadapan TUHAN apabila Dia muncul; gementarlah di hadapan-Nya, hai seluruh bumi! Bumi dikukuhkan dan tidak dapat digoncang. Bersukacitalah, hai bumi dan langit! Beritahulah bangsa-bangsa bahawa TUHAN itu Raja. Berderulah, hai laut, dan segala isimu! Bergembiralah, hai ladang-ladang, dan segala tanamanmu! Pokok-pokok di hutan akan bersorak kegirangan, apabila TUHAN datang untuk memerintah bumi. Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi. Katakanlah kepada-Nya, “Ya Allah, Penyelamat kami, selamatkanlah kami daripada kekuasaan bangsa-bangsa. Kumpulkanlah kami supaya kami dapat bersyukur dan memuji nama-Mu yang suci!” Pujilah TUHAN, Allah Israel! Pujilah Dia sekarang dan selama-lamanya! Kemudian semua orang Israel berkata, “Amin”, dan mereka memuji TUHAN.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami