NEHEMIA 13

13
Israel Memisahkan Diri daripada Orang Bangsa Asing
1Pada waktu Taurat Musa dibacakan kepada rakyat, mereka mendengar bahawa orang Amon dan Moab tidak dibenarkan bergabung dengan umat Allah. 2 Hal itu demikian kerana ketika umat Israel dalam perjalanan dari Mesir, bangsa Amon dan Moab tidak mahu memberi mereka makanan dan minuman. Sebaliknya, mereka mengupah Bileam supaya mengutuk bangsa Israel tetapi Allah kita mengubah kutuk itu menjadi berkat. 3Apabila umat Israel mendengar bahagian Taurat itu dibacakan, mereka memisahkan semua orang bangsa asing daripada masyarakat mereka.
Pembaharuan yang Diadakan oleh Nehemia
4Imam Elyasib yang ditugaskan untuk mengawasi stor-stor bekalan itu sudah lama mempunyai hubungan baik dengan Tobia. 5Elyasib membenarkan Tobia menggunakan satu bilik besar, yang sebenarnya dikhaskan untuk menyimpan persembahan biji-bijian dan kemenyan, peralatan yang digunakan di Rumah TUHAN, persembahan untuk para imam, persembahan persepuluhan daripada biji-bijian, wain, dan minyak zaitun untuk orang Lewi, para pemuzik di Rumah TUHAN, dan para pengawal Rumah TUHAN. 6Sementara hal itu berlaku, aku tidak berada di Yerusalem kerana pada tahun ketiga puluh dua pemerintahan Artahsasta, raja Babel, aku telah pergi ke Babel untuk memberikan laporan kepada raja. Beberapa lama kemudian barulah aku mendapat kebenaran daripada raja 7untuk kembali ke Yerusalem. Setibanya aku di sana, aku terperanjat semasa mengetahui bahawa Elyasib sudah membenarkan Tobia menggunakan sebuah bilik di dalam Rumah TUHAN. 8Aku sangat marah dan melempar keluar semua barang kepunyaan Tobia. 9Kemudian aku memerintahkan supaya upacara penyucian dilakukan bagi bilik-bilik itu. Setelah itu aku menyuruh orang mengembalikan semua peralatan Rumah TUHAN, persembahan biji-bijian dan kemenyan ke bilik-bilik itu.
10 Aku juga mendapati para pemuzik dan orang Lewi sudah meninggalkan Yerusalem dan kembali ke ladang-ladang mereka, kerana rakyat tidak mencukupi keperluan hidup mereka. 11Aku menegur para pegawai kerana mengabaikan Rumah TUHAN. Kemudian aku memanggil orang Lewi dan para pemuzik kembali ke Rumah TUHAN dan menyuruh mereka bertugas semula. 12 Kemudian seluruh rakyat Israel mulai lagi membawa persembahan persepuluhan biji-bijian, wain, dan minyak zaitun ke Rumah TUHAN. 13Aku menugaskan semua orang yang berikut untuk menjaga stor-stor bekalan itu: Selemya, seorang imam; Zadok, seorang ahli Taurat; Pedaya, seorang Lewi. Hanan anak Zakur, cucu Matanya ialah pembantu mereka. Aku yakin bahawa mereka boleh dipercayai untuk membahagikan bahan-bahan itu kepada sesama pekerja dengan jujur.
14Ya Allah, ingatlah akan segala yang sudah aku lakukan untuk Rumah TUHAN dan ibadat di situ.
15 Pada masa itu aku nampak penduduk Yehuda memeras buah anggur pada hari Sabat. Sebilangan orang lain memuat biji-bijian, wain, buah anggur, buah ara, dan barang-barang lain ke atas keldai mereka, lalu membawanya ke Yerusalem. Aku memberikan amaran kepada mereka supaya tidak menjual apa-apa pada hari Sabat. 16Beberapa orang dari kota Tirus yang tinggal di Yerusalem membawa ikan dan pelbagai jenis barang ke Yerusalem, lalu mereka menjualnya kepada orang Yahudi pada hari Sabat. 17Aku menegur para pemimpin orang Yahudi. Aku berkata, “Lihatlah perbuatan kamu yang jahat itu! Kamu mencemarkan hari Sabat. 18Justeru kerana itulah Allah menghukum nenek moyang kita dahulu dan memusnahkan kota ini. Sekarang kamu menyebabkan Allah lebih murka lagi terhadap Israel dengan mencemarkan hari Sabat!”
19Oleh itu aku memberikan perintah supaya pintu gerbang kota ditutup pada permulaan tiap-tiap hari Sabat, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam, dan pintu itu tidak dibuka sehingga hari Sabat sudah berlalu. Aku menugaskan beberapa orang anak buahku di pintu-pintu gerbang itu untuk mengawasi supaya tidak ada barang dagangan dibawa masuk ke dalam kota pada hari Sabat. 20Sekali atau dua kali pedagang-pedagang yang menjual barang dagangan bermalam di luar tembok kota. 21Aku memberikan amaran kepada mereka, “Sia-sia saja kamu menunggu sehingga pagi di situ. Jika kamu melakukan hal ini lagi, aku akan mengambil tindakan keras terhadap kamu.” Sejak itu mereka tidak datang lagi pada hari Sabat. 22Aku memberikan perintah kepada orang Lewi supaya menyucikan diri dan mengawal pintu-pintu gerbang untuk mengawasi orang supaya menghormati hari Sabat.
Ya Allah, ingatlah aku kerana perkara ini, dan kasihanilah aku demi kasih-Mu yang besar.
23Pada masa itu aku juga mendapati banyak orang lelaki Yahudi sudah berkahwin dengan perempuan bangsa Asdod, Amon, dan Moab. 24Sebilangan daripada anak-anak mereka bertutur dalam bahasa Asdod atau bahasa lain, tetapi mereka tidak tahu bertutur dalam bahasa kami. 25 Aku menegur kaum lelaki itu dan mengutuk mereka. Aku memukul mereka dan mencabut rambut mereka. Kemudian aku menyuruh mereka bersumpah demi nama Allah bahawa tidak sekali-kali mereka ataupun anak-anak mereka akan berkahwin dengan orang bangsa asing lagi. 26 Aku berkata kepada mereka, “Perempuan bangsa asinglah yang sudah menyebabkan Raja Salomo berdosa. Raja Salomo lebih agung daripada raja-raja bangsa lain. Allah mengasihi baginda dan menjadikan baginda raja seluruh Israel. Walaupun begitu, baginda berdosa kerana bujukan perempuan bangsa asing. 27Alangkah jahatnya perbuatan kamu! Kamu berani melawan Allah dengan mengahwini perempuan bangsa asing!”
28 Yoyada ialah anak Imam Agung Elyasib, tetapi salah seorang anak Yoyada berkahwin dengan anak perempuan Sanbalat dari kota Bet-Horon. Oleh itu aku menyuruh Yoyada meninggalkan Yerusalem.
29Ya Allah, ingatlah bagaimana semua orang itu mencemarkan jawatan imam dan perjanjian yang sudah Engkau buat dengan para imam dan orang Lewi.
30Demikianlah aku menyucikan bangsa Israel daripada segala pengaruh asing. Aku menyediakan peraturan bagi para imam dan orang Lewi supaya masing-masing mengetahui tugasnya. 31Aku mengatur masa tertentu bagi orang membawa kayu api untuk membakar korban, dan masa bagi orang membawa persembahan mereka, iaitu hasil biji-bijian dan buah-buahan yang mula-mula masak.
Ya Allah, ingatlah akan semua hal ini, dan berkatilah aku.

Terpilih Sekarang Ini:

NEHEMIA 13: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk