Zakharia 8:3-8
Zakharia 8:3-8 AVB
Beginilah firman TUHAN, ‘Aku akan kembali ke Sion dan bersemayam di tengah-tengah Yerusalem. Dan Yerusalem akan disebut Kota Setia, manakala gunung TUHAN alam semesta, akan disebut Gunung Suci.’ Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Akan ada lagi golongan datuk dan nenek yang duduk di tempat-tempat umum di Yerusalem, masing-masing memegang tongkat kerana lanjut usianya. Tempat-tempat umum kota itu akan penuh dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan yang bermain-main di situ.’ Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Kalau hal itu ajaib bagi saki-baki umat ini pada masa ini, bukankah hal itu ajaib juga bagi-Ku?’ demikianlah firman TUHAN alam semesta. Beginilah firman TUHAN alam semesta, ‘Sesungguhnya, Aku akan menyelamatkan umat-Ku dari negeri sebelah timur dan dari negeri sebelah barat. Akan Kubawa mereka pulang untuk tinggal di Yerusalem. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku akan menjadi Allah mereka dalam kesetiaan dan kebenaran.’

