Roma 14:13-21
Roma 14:13-21 AVB
Oleh itu, janganlah lagi kita menghakimi sesama sendiri. Sebaliknya bertekadlah tidak akan membuat saudaramu tersandung atau terjatuh. Dalam Tuhan Yesus, aku tahu dan percaya bahawa tiada sesuatu pun yang najis. Namun demikian, sesuatu menjadi najis bagi seseorang yang menganggapnya najis. Sekiranya saudaramu bersedih kerana sesuatu yang kamu makan, maka kamu tidaklah lagi hidup berasaskan kasih. Jangan mudaratkan sesiapa disebabkan makananmu, kerana Kristus telah berkorban nyawa untuk dia juga. Jangan sampai sesuatu yang kamu anggap baik disebut sebagai kejahatan. Kerajaan Allah bukanlah soal makan minum, tetapi soal perbenaran dan kesejahteraan serta kegembiraan dalam Roh Kudus. Orang yang mengabdikan diri kepada Kristus dengan cara ini akan diredai Allah dan disukai manusia. Oleh itu, marilah kita mengejar hal-hal yang membawa kesejahteraan dan yang membina kebaikan sesama sendiri. Jangan rosakkan rancangan Allah semata-mata kerana makanan! Semua makanan adalah suci, tetapi seseorang dianggap bersalah sekiranya sesuatu yang dimakannya menyebabkan orang lain tersandung. Sebaik-baiknya jauhilah makan daging atau minum air anggur atau apa sahaja yang dapat melemahkan saudaramu.

