Mazmur 62:5-12

Mazmur 62:5-12 AVB

Jiwaku, senyap heninglah menantikan Allah sahaja; kerana harapanku terletak pada-Nya. Hanyalah Dia batu pejalku dan penyelamatanku; Dialah pertahananku, maka aku tidak akan digugat. Pada Allah penyelamatanku dan kemuliaanku; batu pejal kekuatanku, dan tempat perlindunganku pada Allah. Percayalah kepada-Nya setiap waktu, hai umatku; curahkan isi hatimu di hadirat-Nya, Allah Pelindung kita. Sela Sesungguhnya, manusia baik rendah mahupun tinggi kedudukannya, hanyalah nafas dan bayangan maya; jika mereka ditimbang dengan neraca; semuanya lebih ringan daripada nafas. Jangan letakkan kepercayaan kepada penindasan, usah berharap sia-sia kepada hasil rompakan; walaupun kekayaanmu bertambah, jangan bergantung kepadanya. Allah telah berfirman beberapa kali, dan aku telah mendengar: bahawa kuasa hanya milik Allah, kasih juga milik-Mu, ya Tuhan. Engkau memberi ganjaran yang sepadan dengan usaha setiap orang.