Mazmur 30:4-12
Mazmur 30:4-12 AVB
Nyanyikanlah puji-pujian kepada TUHAN, wahai umat-Nya yang warak; dan bersyukurlah mengingati nama-Nya yang suci. Kerana kemurkaan-Nya cuma sebentar, keredaan-Nya sepanjang kehidupan kekal; tangisan mungkin berlangsung semalaman, tetapi kegembiraan muncul sewaktu pagi. Ketika aku berjaya aku berkata, “Aku tidak akan goyah.” TUHAN, dengan keredaan-Mu, Engkau mengukuhkan gunungku; dahulu ketika Engkau menyembunyikan wajah-Mu, aku berasa bimbang. Aku telah berseru kepada-Mu, ya TUHAN; dan kepada-Mu aku telah merayu: “Apakah gunanya jika darahku tertumpah, dan aku masuk ke kubur? Adakah debu akan memuji-Mu dan mengisytiharkan kesetiaan-Mu? Dengarlah, ya TUHAN, dan kasihanilah aku; Ya TUHAN, tolonglah aku.” Engkau telah mengubah kesedihanku menjadi tarian riang; Engkau telah melucutkan kedukaanku dan meliputiku dengan keriaan, supaya aku menyanyikan puji-pujian untuk-Mu sepanjang masa. Ya TUHAN, ya Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.



