Mazmur 22:14-24

Mazmur 22:14-24 AVB

Aku dicurah keluar seperti air, dan semua tulangku terseliuh daripada sendinya. Hatiku seperti lilin; dan telah cair dalam diriku. Kekuatanku telah kering-kontang, dan lidahku melekat ke langit-langitku; Engkau telah membawaku ke debu maut. Anjing-anjing telah mengelilingiku; gerombolan orang durjana mengepungku, mereka telah menembusi tangan dan kakiku. Aku dapat membilang semua tulangku; mereka membelalak merenungku. Mereka membahagikan pakaianku antara mereka dan untuk itu mereka membuang undi. Tetapi Engkau, ya TUHAN, janganlah jauh daripadaku; ya TUHAN kekuatanku, segeralah datang menolongku. Selamatkan aku daripada pedang, dan nyawaku yang satu-satunya daripada cengkaman anjing. Selamatkan aku daripada mulut singa; dan daripada tanduk lembu liar. Aku akan mengisytiharkan nama-Mu kepada saudara-saudaraku; di tengah-tengah perhimpunan aku akan memuji-Mu. Kamu yang takut akan TUHAN, pujilah Dia! Semua kamu zuriat Yakub, muliakan TUHAN! Dan takutilah Dia, semua kamu anak cucu Israel! Kerana Dia tidak menghina atau menjijikkan derita orang yang menderita; dan Dia tidak menyembunyikan wajah-Nya daripada dia. Apabila dia berseru kepada-Nya, Dia mendengar.