Bilangan 20:2-12

Bilangan 20:2-12 AVB

Pada suatu waktu, tidak ada air bagi umat itu. Maka berhimpunlah mereka menentang Musa dan Harun. Bangsa itu berbantah terhadap Musa dan berkata, “Kalau sahaja kami mati ketika saudara-saudara kami itu mati di hadapan TUHAN! Mengapakah kamu membawa jemaah TUHAN ke gurun ini? Supaya kami dan ternakan kami mati di sini? Mengapa pula kamu memimpin kami keluar dari Mesir dan membawa kami ke tempat buruk ini, yang bukan tempat biji-bijian, bukan tempat pokok ara, pokok anggur, atau pokok delima, bahkan air minum pun tidak ada?” Musa dan Harun pergi meninggalkan jemaah itu menuju pintu Khemah Pertemuan, lalu mereka pun bersujud. Kemudian kemuliaan TUHAN tampak di hadapan mereka. Firman TUHAN kepada Musa, “Ambillah tongkatmu, lalu bersama dengan Harun abangmu kumpulkanlah jemaah itu. Berbicaralah kepada bukit batu itu di hadapan mata mereka agar bukit batu itu mengeluarkan airnya. Begitulah cara kamu mengeluarkan air dari bukit batu itu bagi mereka dan memberikan minum umat itu berserta segala ternakan mereka.” Musa mengambil tongkat itu dari hadirat TUHAN, seperti yang diperintahkan-Nya kepadanya. Kemudian Musa dan Harun mengumpulkan umat itu di depan bukit batu. Kata Musa kepada mereka, “Dengarlah, hai orang derhaka! Apakah kami harus mengeluarkan air bagimu dari bukit batu ini?” Lalu Musa mengangkat tangannya dan memukul bukit batu itu dua kali dengan tongkatnya. Maka keluarlah air dengan limpahnya, dan minumlah umat itu berserta ternakan mereka. Akan tetapi, TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Kerana kamu tidak percaya kepada-Ku dan tidak menyatakan kesucian-Ku di hadapan mata orang Israel, maka kamu tidak akan membawa jemaah ini masuk ke negeri yang akan Kukurniakan kepada mereka.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami