Bilangan 16:21-31

Bilangan 16:21-31 AVB

“Pisahkanlah dirimu daripada umat ini, kerana mereka akan Kulenyapkan sekejap lagi.” Tetapi kedua-duanya bersujud dan berkata, “Ya Allah, Allah atas roh semua manusia! Jika seorang sahaja yang berdosa, akankah Engkau murka terhadap seluruh umat ini?” Firman TUHAN kepada Musa, “Katakanlah kepada umat itu, ‘Pergilah jauh dari sekitar kediaman Korah, Datan, dan Abiram.’ ” Kemudian pergilah Musa mendapatkan Datan dan Abiram, diikuti tua-tua Israel. Katanya kepada umat itu, “Pergilah jauh dari khemah orang fasiq ini. Jangan sentuh sesuatu pun milik mereka, supaya jangan kamu binasa kerana segala dosa mereka.” Maka jemaah itu pun pergi jauh dari sekitar kediaman Korah, Datan, dan Abiram. Datan dan Abiram keluar, lalu berdiri di depan pintu khemah mereka berserta isteri, anak-anak lelaki, juga anak-anak yang masih kecil-kecil. Kata Musa, “Dengan yang berikut ini kamu akan tahu bahawa TUHAN telah mengutus aku untuk melakukan segala pekerjaan ini dan bahawa hal ini bukan berasal daripada niat hatiku sendiri. Jika orang ini mati secara lazim seperti yang dialami setiap manusia, atau jika ajal menjemput mereka seperti ajal menjemput setiap manusia, maka TUHAN tidak mengutus aku. Akan tetapi, jika TUHAN membuat sesuatu yang baru, dan tanah mengangakan mulutnya serta menelan mereka bersama dengan segala sesuatu yang dimiliki mereka hinggakan mereka turun hidup-hidup ke alam kubur, maka kamu akan tahu bahawa orang ini telah menista TUHAN.” Sebaik sahaja Musa selesai mengucapkan semua kata itu, terbelahlah tanah di bawah kaki orang itu.