Nehemia 1:4-11

Nehemia 1:4-11 AVB

Sebaik sahaja mendengar perkataan itu, duduklah aku lantas menangis dan berkabung selama beberapa hari. Aku berpuasa dan berdoa di hadapan Allah semesta langit, kataku, “Ya TUHAN, Allah semesta langit, Allah yang besar dan teramat hebat, yang berpegang teguh pada perjanjian-Nya serta kasih abadi-Nya terhadap orang yang mencintai-Nya dan menuruti segala perintah-Nya, semoga telinga-Mu mendengar dan mata-Mu terbuka untuk mendengar doa hamba-Mu yang sekarang kupanjatkan di hadapan-Mu siang dan malam bagi orang Israel, para hamba-Mu. Aku mengaku bahawa kami, orang Israel, termasuk aku dan seisi keluargaku, telah berdosa terhadap Engkau. Teramat fasiq kelakuan kami terhadap Engkau, dan kami tidak berpegang teguh pada segala perintah, segala ketetapan, dan segala peraturan yang telah Kausampaikan melalui hamba-Mu iaitu Musa. Ingatlah firman yang telah Kauperintahkan kepada Musa, hamba-Mu, ‘Jika kamu berbuat mungkar, maka Aku akan menyelerakkan kamu antara bangsa lain. Tetapi jika kamu kembali kepada-Ku dan berpegang teguh pada segala perintah-Ku serta melakukannya, maka sekalipun orangmu yang terbuang ada di hujung langit, Aku akan mengumpulkan mereka dari sana dan membawa mereka ke tempat yang telah Kupilih untuk membuat nama-Ku bersemayam di sana.’ Mereka ini ialah para hamba-Mu dan umat-Mu yang telah Kautebus dengan kuasa-Mu yang besar dan dengan kekuatan-Mu. Ya Tuhan, semoga telinga-Mu mendengar doa hamba-Mu ini dan doa para hamba-Mu yang rela menghormati nama-Mu. Berikanlah kejayaan kepada hamba-Mu hari ini dan kurniakanlah belas ihsan kepadanya di hadapan orang ini.” Pada waktu itu aku menjadi jururasa santapan raja.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami