Markus 14:1-9
Markus 14:1-9 AVB
Dua hari lagi akan tibalah Perayaan Paskah dan Jamuan Roti Tidak Beragi, ketua-ketua imam dan ahli-ahli Taurat mencari jalan untuk memerangkap Yesus secara tipu daya dan membunuh-Nya. Tetapi mereka berkata, “Janganlah pada waktu perayaan, takut orang merusuh.” Ketika itu Yesus berada di Betania di rumah Simon yang menghidap penyakit kusta. Sedang Yesus duduk bertelekan di meja, seorang wanita datang membawa kendi pualam berisi minyak narwastu murni yang amat mahal. Dia memecahkan bejana itu lalu menuangkan minyak itu ke atas kepala Yesus. Beberapa orang berkata-kata sesama sendiri dengan marah, “Mengapa dibazirkan minyak wangi ini? Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih tiga ratus keping wang dinar dan wangnya disedekahkan kepada orang miskin.” Mereka memarahi wanita itu. Tetapi Yesus berkata, “Biarkan dia begitu. Mengapakah kamu menyusahkannya? Dia telah melakukan sesuatu yang baik untuk-Ku. Orang miskin akan sentiasa ada di sekitarmu, dan bila-bila sahaja kamu mahu, kamu dapat berbuat kebajikan kepada mereka. Tetapi Aku tidaklah sentiasa ada bersamamu. Dia telah melakukan apa yang terdaya olehnya. Dia menuangkan minyak wangi ke atas tubuh-Ku sebagai persiapan bagi pengebumian-Ku. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, di mana-mana pun kelak Injil disebarkan di serata dunia, apa yang telah dilakukan oleh wanita ini akan dikisahkan juga sebagai kenangan kepadanya.”



